Senarai Laman Web Umum Untuk Freelancer

Senarai Laman Web Umum Untuk Freelancer

Takrifan laman web freelance bermaksud tempat atau platform di mana para pencari kerja online atau freelancer mencari kerja yang bertepatan dengan kemahiran masing-masing. Jika anda melakukan carian di internet, terdapat pelbagai laman web freelance yang menawarkan pelbagai skop pekerjaan. Tidak kira sama ada anda hanya ingin melakukan kerja sampingan atau sepenuh masa, sememangnya kewujudan laman-laman ini semakin banyak bak cendawan tumbuh selepas hujan. Apa yang ingin saya senaraikan di bawah adalah laman web freelance yang sudah sedia popular di peringkat antarabangsa dan secara umum diyakini selamat untuk berurusan (perlu juga ada sedikit ilmu sampingan sebelum berurusan dengan client antarabangsa).

Cuma hakikat yang perlu diketahui, kesemua laman web ini pada dasarnya percuma untuk mendaftar dan bebas memohon kerja, tetapi segelintir laman ini mengenakan sedikit cas untuk tujuan tertentu jika anda hendak mengoptimasikan sepenuh tawaran yang disediakan mereka. Ada juga cas tersembunyi yang dikenakan jika anda hendak mengeluarkan duit gaji dari platform mereka. Cas berbeza dikenakan bagi setiap pengendali laman ini kerana ianya perkara lumrah kerana pihak laman ini juga harus mengaut untung untuk perbelanjaan kos operasi dan pembayaran gaji staff mereka. Berikut saya senaraikan 7 laman web popular untuk freelancer mencari peluang rezeki di arena antarabangsa.

7 laman web popular untuk freelancer

1. Upwork

Saya meletakan laman web ini di tempat pertama sekali kerana saya sudah mempunyai pengalaman yang sangat banyak berurusan dengan beberapa client di sini. Ianya sahih dan terbukti memberikan jaminan keselamatan dari segi transaksi kewangan kepada kedua pihak sama ada freelance atau klien. Seperti biasa tetap ada kekurangan dan kelebihan tertentu.

Melalui carian mudah di Google, terdapat 12 juta freelancer yang mendaftar Upwork dan 5 juta klien. Secara umum laman ini menyediakan pelbagai bidang dan cabang kerja. Hampir kata apa saja pekerjaan yang melibatkan penggunaan komputer, mesti ada klien yang menawarkan kerja. Dari kerja yang seringkas-ringkasnya (sekadar menaip atau copy/paste) hinggalah pekerjaan advance yang memberikan gaji yang sangat lumayan. Apa yang menarik terdapat banyak pekerjaan yang menawarkan kontrak jangka masa yang panjang pada anda. Pendek kata, selagi anda mahu bekerja, selagi itu klien takkan lepaskan anda.

Kekurangan paling terbesar bagi Upwork adalah pemotongan sebanyak 20% dari gaji yang anda dapat. Bayangkan klien hanya mampu bayar anda 1000, tetapi 200 Upwork akan ambil sebagai cas. Perit bukan? Tetapi nilai 20% tu akan berkurangan kepada 10% dan akhirnya 5% (nilai tetap). Pengurangan ini boleh berlaku bila semakin lama anda bekerja dengan klien tersebut. Maka tidak selamanya anda dikenakan cas 20%. Tapi memang perit bagi sesiapa yang bermula dengan Upwork. Terasa diri jadi mangsa kapitalis.

Antara kelebihan Upwork adalah jaminan transaksi kewangan. Agak sukar barangkali klien hendak menipu anda dengan membuat kerja percuma disebabkan duit gaji (atau upah yang diberikan klien) di simpan oleh Upwork terlebih dahulu demi mengelakkan unsur penipuan. Selepas selesai kerja barulah  duit tersebut dilepaskan kepada anda. Sistem kewangan ini dinamakan sebagai “Escrow”.

Di masa akan datang saya bercerita selengkapnya mengenai Upwork. Jika anda inginkan klien yang berkualiti dan ingin bekerja dengan kontrak yang panjang (bukan kerja “touch n go”, habis satu klien buru klien baru), maka Upwork tempat terbaik untuk mendapatkan kerja dari klien seluruh dunia. Walaupun anda duduk di Ceruk Tok Kun, anda mampu mendapatkan klien dari US.

2. Fivver

Laman kedua terbaik adalah Fivver. Secara jujur saya tidak pernah ada pengalaman berurusan dengan klien di sini. Saya pernah cuba mendaftarnya dahulu (2010), hampir sedekad dahulu memang lupa habis semua login ID/password. Apa yang saya dapat katakan laman web ini mempunyai skop pekerjaan yang lebih luas dan lebih “santai” dari Upwork. Apa yang saya maksudkan santai adalah pekerjaan seperti pinjam suara anda untuk tujuan iklan, mencipta lagu untuk montaj, membuat satira atau parodi, dan pelbagai lagi industri kreatif. Pekerjaan standard lain tetap ada cuma di sini segala niche pekerjaan diperincikan dalam arena kreatif.

Apa yang sedikit berbeza freelancer boleh menjual terus servis mereka kepada client tanpa memerlukan proses interview dan sebagainya sebelum diterima bekerja. Contoh anda telah mencipta epik melodi untuk sebarang montaj iklan, anda terus boleh mengiklankan kepada sesiapa yang berminat untuk membelinya pada sekian harga. Seperti biasa Fivver mengenakan sedikit cas untuk sebarang transaksi di laman sesawang mereka.

3. Freelancer

Laman ini merupakan satu lagi platform umum untuk para pekerja online mencari kerja. Freelancer boleh diibaratkan adik kepada Upwork. Pekerjaan umum yang ditawarkan pelbagai seperti Upwork dan para freelancer boleh membida pekerjaan pada kadar yang mereka ingini. Saya secara peribadi pernah mencubanya dan juga telah berjaya menambat hati klien (dari Australia) untuk sesi interview panjang tetapi tiada rezeki untuk saya di platform ini.

Apa yang saya tidak gemari mengenai platform ini terdapat sedikit monopoli oleh freelancer yang telah mempunyai rating yang tinggi. Andai kata terdapat 30 pekerjaan tentang kemahiran Excel yang ditawarkan pelbagai klien, muka profil yang sama mendominasi kesemua permohonan tersebut. Ini adalah kerana platform ini menayangkan muka kesemua pemohon, tidak seperti Upwork tiada siapa tahu yang memohon sesuatu pekerjaan.

Maka para newbie mempunyai peluang yang sangat kecil apabila semua high rating freelancer membida kesemua tawaran tersebut. Klien mungkin mempunyai “tendency” untuk memilih high rating freelancer daripada newbie. Adakah freelancer tersebut mempunyai 10 tangan boleh membuat kesemua pekerjaan serentak. Jawapannya mungkin seorang freelancer high rating ini meng-sub-contract pekerjaan tersebut pada rakan yang dikenali. Itu yang berlaku 4 tahun dahulu apabila saya mencuba laman web ini. Mungkin tahun 2020 sistem “ketamakan” ini sudah berubah saya tidak pasti. Saya akan menulis review dengan lebih mendalam mengenai laman ini pada artikel yang akan datang.

4. Guru

Nampak seperti bahasa Melayu bunyinya, tetapi hakikatnya ianya adalah freelance platform umum sesuai untuk pelbagai jenis pekerjaan online terangkum dalam satu tempat. Dengan lebih 3 juta pengguna, boleh dikatakan ianya adik beradik kepada Upwork dan Freelancer. Perkataan Guru juga boleh ditahkikkan sebagai expert atau pakar dalam bahasa Sanskrit. Dalam bahasa Melayu tentunya membawa maksud Cikgu. Walau apa pun maksud ianya merupakan branding laman web untuk para freelancer menyerlahkan kepakaran mereka kepada klien. Cuma cas yang dikenakan terhadap klien rendah daripada Upwork pada kadar 8.95% pada setiap transaksi kewangan daripada klien kepada freelancer.

Secara peribadi saya pernah mendaftarnya, tetapi hanya sekadar mencuba tanpa sebarang usaha keras. Maka tiada rezeki saya untuk mendapatkan klien di sini. Peribahasa English “Don’t put your eggs in one basket” boleh dijadikan sandaran. Maksud saya selain anda ingin mencuba laman web freelancer popular seperti Upwork, tidak salah membuka akaun di Guru juga.

5. PeoplePerHour

Menerusi laman utama mereka menayangkan maklumat sebanyak 1 juta bisnes dan hampir 3 juta freelancer mendapat manfaat dari laman web freelance ini yang berpusat di London. Secara peribadi saya pernah mencuba mendaftar PeoplePerHour tetapi tidak melakukan sebarang apa tindakan untuk mencari kerja (kerana sudah bertapak di Upwork). Laman ini juga menawarkan perlindungan kewangan kepada klien dengan mensyaratkan duit pendahuluan didepositkan kepada freelancer sama seperti konsep Escrow Upwork (penerangan di atas).

Apa yang menarik pihak mereka mendakwa mempunyai sistem AI (artificial intelligence) tersendiri dalam memadankan klien dan freelancer berdasarkan kemahiran dan kehendak masing-masing. Setiap permohonan pekerjaan telah dikemaskini bersesuaian dengan citarasa klien dalam beberapa minit sahaja. Bolehlah anda mendaftar secara percuma dan mencuba features yang ditawarkan mereka.

6. TopTal

Kualiti lebih penting daripada kuantiti. Mungkin itulah cogan kata yang dibawakan oleh laman web freelancer ini. Toptal adalah platform di mana terdapat 3% top freelancer peringkat global. Mereka mengenakan proses saringan yang ketat bagi freelancer yang berminat menyertai platform mereka. Hanya yang terbaik dipilih dan oleh kerana itu klien tidak perlu risau lagi tentang mencari “pool of talent” yang berkualiti di dalam bidang yang pelbagai.

Jikalau anda sudah terbukti mempunyai skill yang sangat berkualiti dan diyakini terbaik di arena antarabangsa, sudah pasti anda harus mencuba platform ini untuk mendapatkan kerja dari syarikat multinasional dan upah yang tersangat lumayan. Secara peribadi saya tidak pernah mencuba platform ini. Mungkin suatu hari nanti. Doakan saya berjaya di arena antarabangsa.

7. Linkedin

Bayangkan resume atau CV anda dipamerkan secara online. Oleh itu Linkedin boleh diibaratkan sebagai suatu jaringan sosial professional untuk pembangunan kerjaya anda di masa hadapan. Seperti Facebook tetapi khas untuk para pencari kerja atau golongan professional. Anda boleh menghubungkan rakan-rakan atau bakal majikan yang sama industri dengan anda. Sebagai contoh anda mempunyai latar belakang akauntan atau memiliki sjili professional dalam bidang perakaunan. Apabila anda mendaftar akaun di Linkedin, bakal majikan yang ingin menggaji seorang akauntan boleh menjumpai anda di Linkedin dan menawarkan anda pekerjaan. Selain itu anda juga boleh membuat carian bakal majikan di Linkedin.

Ianya seperti agak berbeza dengan laman freelancer yang lain, tetapi objektif tidak banyak beza iaitu menyediakan platform untuk pencari kerja, sama ada bekerja secara online atau offline. Secara peribadi saya mempunyai akaun di Linkedin tetapi tidak pernah mencari klien di situ. TETAPI para majikan yang mencari saya berdasarkan profil saya yang menyatakan kelulusan dan kepakaran yang saya miliki. Cuma rezeki mungkin tidak berpihak pada saya kerana saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk bekerja di bawah majikan yang baru.

Senarai tambahan laman web umum untuk freelancer

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, kewujudan laman web untuk freelacer tersangat banyak. Tambahan pula ada laman web khas untuk kemahiran tertentu, misalnya jika anda seorang penterjemah, ada laman web tertentu untuk itu. Dan jika anda seorang pereka grafik, ada juga laman web tertentu untuk anda. Sila baca artikel ini untuk melihat lebih lanjut. Apa yang saya senaraikan di bawah adalah laman web umum (mempunyai banyak skop pekerjaan dan kemahiran). Penafian: Saya peribadi saya tak pernah cuba kesemua laman web di bawah. Hanya ulasan umum saya tentangnya.

We Work Remotely

Dengan lebih 2.5 juta pengguna yang melayari laman web ini setiap bulan, tentunya peluang untuk memohon pekerjaan tetap ada. Terdapat pelbagai jenis pekerjaan terpampang di muka utama laman web ini dan anda boleh mencari bidang yang sesuai untuk anda.

SimplyHired

Mungkin sedikit berbeza dengan laman web freelancer lain, anda boleh terus mengupload resume anda di platform mereka tanpa perlu melalui proses panjang melengkapkan profil. Terdapat lebih 3 juta majikan yang telah menggunakan platform. Anda juga boleh membina resume anda dengan sendiri dengan alat bantuan yang mereka sediakan.

FlexJobs

Laman ini ditubuhkan pada 2007 mengumpulkan peluang pekerjaan berkualiti dari serata dunia. Sama ada sepenuh masa atau separuh masa, pelbagai syarikat kecil dan multinasional turut menawarkan pekerjaan. Tetapi jika anda ingin meneroka lebih banyak peluang yang ada atau mengoptimasi kesemua fungsi laman ini, sedikit bayaran perlu dikenakan.

SolidGigs

Pakej 2 dalam 1 adalah tawaran yang sangat menarik oleh laman web ini. SolidGigs mendakwa selain memberikan kursus dan alat bantuan tertentu kepada freelancer, mereka juga menapis kesemua tawaran pekerjaan yang terbaik dari segenap pelusuk laman-laman web yang lain. Mungkin ia boleh diibaratkan sebagai Trivago. Anda pasti pernah mendengar jenama Trivago di kaca TV atau ketika hendak menempah hotel. Tetapi untuk sistem ini, ianya pekerjaan untuk freelancer.

Hireable

Laman ini boleh dikatakan berfungsi sebagai enjin carian pekerjaan berdasarkan lokaliti. Anda boleh masukkan kata kunci tertentu dan lokasi pekerjaan tersebut. Saya cuba untuk melakukan carian umum di lokasi Kuala Lumpur, tetapi tiada maklumat. Mungkin ianya mengfokuskan klien dari luar negara. Tetapi tetap boleh anda mencubanya seperti laman web freelance antarabangsa yang lain.

Nexxt

Hampir sama dengan konsep enjin carian untuk freelancer, tetapi Nexxt juga mempunyai ciri-ciri fokus khas untuk cabang-cabang tertentu pekerjaan. Anda boleh memilih mengikut kesesuaian bidang anda dan juga kemahiran tertentu. Misalnya anda hanya fokuskan kerjaya dalam bidang kewangan sahaja. Maka ada pilihan untuk itu. Atau hanya anda mahu klien dari New York sahaja, juga ada fungsi yang boleh dipilih. Boleh layari Nexxt untuk sekadar melihat fungsi-fungsinya.

ServiceScape

Laman web ini tidak menekankan skop kerja secara umum, tetapi ServiceScape mengfokuskan 4 bidang iaitu pereka grafik, penterjemah, penulis dan juga editor. Data terkini terdapat lebih 88000 klien dan 300,000 projek yang telah siap menunjukkan laman web ini berhak untuk dicuba. Mungkin rezeki anda di sini siapa tahu?

CloudPeeps

Dipercayai oleh 20,000 pelanggan dari 150 negara. Itulah ayat yang dipamerkan di laman web ini. Secara umum CloudPeeps fokus kepada peluang dalam bidang pemasaran digital dan media sosial, tetapi terdapat juga pekerjaan lain yang mungkin sesuai dengan anda. Andai anda sudah ada portfolio atau background pekerjaan yang sudah mempunyai kredibiliti, tidak salah mencuba platform ini sebagai salah satu alternatif mencari pekerjaan online.

Kesimpulan

Banyak lagi ingin saya senaraikan dan bila anda melakukan sendiri carian di internet, sudah tentu berpuluh-puluh lagi laman web untuk freelance yang anda akan temui. Apa yang penting adalah apakah kemahiran yang anda ada dan asah bakat anda itu sehingga gilap dan tajam. Paling terpenting sekali adalah kemahiran menguasai bahasa kedua iaitu English. Disebabkan kesemua laman web ini bukanlah bercirikan pasaran tempatan, ianya bersifat global dan jurang komunikasi mungkin penghalang jikalau anda tidak faham English langsung.

Bagi mereka yang mula berjinak-jinak dalam dunia freelancing luar negara serta tidak tahu di mana hendak bermula. Saya sarankan Upwork, Guru, Freelancer dan Fivver adalah tempat terbaik untuk anda cuba dahulu mendaftar. Sedikit sebanyak anda boleh belajar selok belok dalam dunia freelancing. Setiap platform menawarkan pengalaman yang berbeza. Persaingan sangat tinggi antara freelancer seluruh dunia bukan menjadi asbab anda takut untuk mencuba langsung. Rezeki anda hanya Tuhan yang aturkan. Tak salah mencuba. Di masa akan datang saya akan berkongsi tip-tip asas lain bagi mereka yang ingin menjadi freelancer yang berjaya. Semoga artikel ini memberikan manfaat kepada anda.

Give a Comment