9 Pekerjaan Permulaan Sebagai Freelancer

Dalam kita meniti dunia tanpa sempadan atau borderless, sememangnya terdapat banyak pekerjaan yang boleh dilakukan secara atas talian. Jikalau anda memilih untuk menjadi seorang freelancer atau pekerja online, sudah tentu anda tercari-cari pekerjaan yang sesuai dengan anda. Bakal majikan anda di UK misalnya boleh menggajikan anda yang berada di kampung Pendang Kedah. Tiada yang mustahil ketika dunia semakin canggih dalam melestarikan perhubungan melalui internet.

Perkara paling pokok sekali adalah anda perlu tanya diri anda sendiri. Apakah skill atau kemahiran yang ada pada diri anda dan setidak-tidaknya ilmu yang paling asas sekali ialah tahu menggunakan komputer. Sudah tentu amat sukar sekali untuk menjerumuskan diri anda ke dunia freelancing jikalau anda tidak tahu membaca dan menulis. Ini adalah kerana anda harus bercakap dan membaca arahan yang disampaikan oleh majikan. Tetapi saya pasti hampir semua rakyat negara ini melepasi asas pendidikan sekolah rendah dan menengah serta pembinaan sungguh banyak pusat-pusat pengajian tinggi menyebabkan rata-rata anak muda kini sudah terpelajar. Mungkin hanya segelintir kecil memilih untuk tidak memasuki sistem pendidikan langsung dan mungkin mewarisi kemahiran tertentu untuk meneruskan kehidupan.

Setelah anda mempunyai asas pendidikan yang cukup baik, perkara utama lain anda harus menguasai Bahasa Inggeris dengan sebaiknya. Ini penting untuk anda mendapatkan klien dari luar negara. Andai tidak berapa fasih dalam berbahasa Inggeris, tetapi sekurangnya anda faham arahan atau segala bentuk kerja yang dikehendaki majikan. Selain itu anda juga boleh memilih untuk mencari majikan dalam ruang lingkup lokaliti tempatan sahaja, maka tiada perlu lagi anda risau mengenai English. Cuma mungkin cabaran untuk mencari majikan yang bersesuaian sangat kurang berbanding jika anda tahu English potensi peluang pekerjaan adalah seluruh dunia. English adalah antara bahasa utama dunia, maka jika anda mahu peluang yang lebih luas, tiada pilihan lain. Anda harus menguasai English, tidak perlu menjadi seorang mat salleh celup. Cuba bayangkan ada klien dari US berminat nak menggajikan anda untuk sesuatu kerja, takkan pula hendak bercakap loghat utagha atau pantai timur dalam berurusan mengendalikan kerja.

Setelah anda memiliki kemahiran asas yang dijelaskan, maka akan saya perincikan kerja-kerja permulaan yang mungkin sesuai dengan anda walaupun anda tidak mempunyai pengalaman. Perlu diingatkan pekerjaan asas atau permulaan ini sudah tentunya tidak memberikan gaji atau upah yang sangat lumayan. Anda perlu anggap ianya satu batu loncatan untuk melangkah jauh dalam industri freelancing. Bila sudah anda mengumpul pengalaman yang mencukupi, mungkin nanti anda harus meminta majikan untuk menaikkan gaji anda. MELAINKAN anda sudah mempunyai kemahiran tinggi dan asas kuat tertentu seperti anda lepasan sarjana kejuruteraan perisian atau apa saja bidang anda sudah belajar di universiti dahulu. Apa yang ingin saya sampaikan di sini buat mereka yang masih blur atau ragu untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian atau nak cuba-cuba mungkin ada rezeki di bidang ini.

Berikut adalah pekerjaan permulaan yang boleh dilakukan di rumah atau di mana sahaja asalkan ada internet dan computer:

1. Pembantu Maya

Penolong peribadi alam maya atau virtual assistance (VA). Ya, sebilangan klien atau majikan hanya mahu mengambil VA yang berpengalaman sahaja. Tetapi terdapat juga banyak posisi VA umum di luar sana, yang tidak memerlukan anda mempunyai kemahiran tertentu.

Tugas utama anda adalah seperti pembantu peribadi atau setiausaha versi alam maya, seperti membalas email, membuat penyelidikan dalam talian, komunikasi dengan staff, atau beberapa pekerjaan melibatkan pengurusan projek.

Selagi anda bersedia mempelajari perkara baru dan menyelesaikan masalah, VA adalah pilihan permulaan yang sangat sesuai. Ianya terpulang kepada klien. Contoh andai kata klien anda adalah pemilik laman web menjual produk kesihatan. Maka tugas anda adalah membantu klien dalam segala kerja berkaitan. Mungkin melakukan carian internet senarai bakal pelanggan atau anda menguruskan pertanyaan pelanggan. Pelbagai skop dan tanggungjawab sebagai seorang VA. Apa sahaja perlu dibantu untuk memudahkan urusan klien.

Senarai pautan berkaitan: Fancy Hands, Time Etc, Virtual Office VA, Belay, Click Worker, Amazon Mechanical Turk, VA Networking, Assistant Match, Zirtual, Worldwide101.

2. Transkripsi

Transkripsi juga merupakan pekerjaan permulaan yang bagus untuk anda ceburi. Sebagai contoh anda akan mendapat rakaman audio yang harus anda dengar dan tuliskan apa yang anda dengar. Anda perlu mempunyai kemahiran mendengar dan menaip yang baik untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Untuk bidang yang lebih spesifik, misalnya, transkripsi kejuruteraan, anda memerlukan pendidikan khusus. Ini adalah kerana anda akan mendengar banyak istilah teknikal yang “normal” bagi anda tetapi tidak bagi orang lain. Andai kata anda seorang pembantu perubatan tetapi ingin membuat kerja freelancing sebagai cara menambah pendapatan, maka anda diberikan audio atau video mahupun Youtube video untuk anda dengar dan tulis semula apa yang disebut atau diperkatakan. Mereka yang tiada pengalaman dalam dunia perubatan semestinya kekok mendengar istilah-istilah berkaitan. Anda juga boleh dibayar upah yang lumayan jikalau melibatkan bidang-bidang kritikal yang lain.

Senarai pautan berkaitan: Babble Type, AccuTranGlobal, Daily Transcription, Scribie, Transcribe Me, GMR Transcription, Ubiqus, Tigerfish.

3. Penulis

Sudah tentu saya tidak perlu menjelaskan lebih lanjut mengenai peranan seorang penulis. Apa yang saya dapati anda mampu mendapat pendapatan yang sangat lumayan sehingga 5 angka sebulan atau lebih jika anda seorang penulis berkebolehan dan memiliki ilmu dalam bidang tertentu. Terdapat pelbagai bidang dalam penulisan merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan industri seperti penulisan kreatif, penulisan teknikal, penulisan kandungan laman web dan pelbagai lagi.

Ya, ada banyak tawaran sebagai penulis yang mengharuskan anda memiliki pengalaman bertahun-tahun, dan artikel yang diterbitkan dengan luar biasa impaknya, dan pengetahuan di bidang tertentu. Tetapi ada juga syarikat dan klien yang lebih selesa mengupah penulis yang baru berjinak-jinak. Banyak faktor, mungkin penulis berpengalaman selalu mendesak klien dengan harga yang tinggi, maka adakalanya klien baru saja memulakan projek lebih selesa memilih penulis newbie.

Sudah tentu, anda tidak akan menjadi kaya dengan cepat sebagai penulis newbie. Akan tetapi, cukup untuk mendapatkan banyak pengalaman sehingga anda boleh berkira-berkira menaikkan harga servis anda di masa hadapan disebabkan anda sudah mempunyai portfolio yang menarik.

Senarai pautan berkaitan: ProBlogger, Text Broker, Contently, Contena, Freelance Writing Gigs, BloggingPro, Journalism Jobs, Freelance Writing, All Freelance Writing, Freedom With Writing, Media Bistro, PubLoft, Online Writing Jobs.

4. Khidmat pelanggan

Perkhidmatan pelanggan atau customer service adalah pekerjaan permulaan yang mungkin sesuai untuk anda. Walaupun beberapa syarikat atau klien menghendaki anda mempunyai pengetahuan dalam bidang tertentu, misalnya sokongan teknikal, tetapi pihak syarikat selalunya dengan senang hati boleh mengajar anda semua perkara yang perlu anda ketahui mengenai syarikat atau produk atau apa sahaja pertanyaan pelanggan yang akan muncul.

Apa yang penting, agar anda ramah, sabar, dan dapat menangani pelanggan yang kecewa atau lambat. Sekiranya anda tidak suka mengendalikan pelanggan secara verbal atau panggilan telefon, anda juga boleh mencari peranan yang lebih sesuai untuk anda seperti melibatkan e-mel atau komunikasi secara bertulis iaitu chatting.

Senarai pautan berkaitan: – The Chat Shop, We Work Remotely, Virtual Vocations, Support Driven, Apptical, Concentrix, LiveOps, Sedgwick, Working Solution, Sitel, Arise, Sutherland, Amazon Jobs.

5. Penterjemah

Sekiranya anda fasih berbahasa lain dari bahasa ibunda anda atau menguasai pelbagai bahasa, maka menjadi penterjemah mungkin merupakan pekerjaan permulaan yang sesuai untuk anda.

Ianya juga bergantung pada kombinasi bahasa yang anda tawarkan dan jenis terjemahan yang anda sediakan. Sebagai contoh, sebagai pemulaan, anda akan lebih mudah mendapat pekerjaan di mana anda harus menterjemahkan teks umum, seperti novel, keratan akhbar atau teks mudah. Terjemahan terus seperti “Saya suka makan nasi” ke “I like to eat rice”. Tetapi jika melibatkan kertas akademik dan bidang-bidang kritikal lain seperti kejuruteraan, perubatan, undang-undang, kewangan dan sebagainya, sudah tentu anda diberi bayaran yang sangat tinggi oleh kerana kesukaran untuk menterjemah sesuatu istilah ke bahasa yang anda kuasai.

Senarai pautan berkaitan: – ProZ, Translator Base, Translator Café, Gengo, Smartling, One Hour Translation, Unbabel, TextMaster.

6. Proofreading

Proofreading atau pun boleh juga dimaksudkan penyuntingan dan pengeditan. Jika anda seorang yang sangat teliti dalam menganalisa tatabahasa dan cekap dalam mengesan kesalahan ejaan sesuatu kandungan berasaskan teks, maka proofreading mungkin menjadi salah satu peluang untuk anda ceburi sebegai permulaan.

Novel, bahan iklan, kandungan laman web, kertas akademik, penulisan teknikal, tutorial aplikasi, pendek kata apa sahaja teks dan terlalu banyak untuk disenaraikan. Tugas anda untuk baca sekali pandang dan mengesan kesalahan serta membuat pembetulan apa yang patut sama ada dari ejaan, tatabahasa atau penambahbaikan struktur ayat.

Selalunya tugas proofreader juga berkait rapat dengan pengeditan, adakalanya anda harus melakukan kerja suntingan yang lebih teliti dan memperbaiki struktur ayat atau teks supaya lebih kemas susunan abjad dengan frasa berkaitan.

Senarai pautan berkaitan: BabbletypeBook Editing AssociatesCACTUS GlobaldotdashDomainiteEdit 911Edit FastEditor LiveEnagoEnglish TrackersGramleeKibinLifetipsNet Transcripts , Polished PaperPromptProofreadingPal, proofreadingservices.comReedsyScribbr, Scribe MediaScribe WritingScribendiWordFirm, Words R U , Wordvice. Untuk lebih lanjut, baca sini.

7. Data entry

Anda bertanggungjawab melakukan proses memasukan data dan secara asasnya ianya dapat dilakukan dengan mudah dari rumah dan selalunya tidak memerlukan pengalaman. Di zaman ramai orang tahu menggunakan komputer dan tahu fungsi papan kekunci seharusnya tidak menjadi masalah. Sebilangan majikan mungkin memerlukan anda mempunyai pengetahuan dalam bidang tertentu seperti perisian data tertentu tetapi secara asas setidaknya anda perlu sedikit sebanyak mengenali apa itu Microsoft Excel.

Apa pun ketelitian dan kemahiran dapat menaip dengan pantas tanpa kesilapan adalah satu kemestian jika berminat dengan pekerjaan permulaan ini. Juga, anda harus bersiap sedia untuk membelajari fungsi Excel dan meneliti pangkalan data besar sepanjang hari. Bukan sesuatu yang disukai oleh sesetengah orang, tetapi kerja adalah kerja. Tiada kerja tiada wang.

Senarai pautan berkaitan: Quicktate, AxionData, Click Worker

8. Pengurus sosial media

Facebook dan Instagram adalah dua gergasi sosial media era ini. Pasti hampir semua yang memiliki telefon pintar pasti memuat turun FB dan iG. Pengurusan media sosial adalah sesuatu yang boleh anda lakukan tanpa pengalaman.

Ada banyak startup, syarikat kecil mahupun klien multinasional yang memerlukan seseorang untuk “hanya” mengurus media sosial mengikut strategi perniagaan masing-masing. Maksud saya adalah seperti menjawab komen atau mesej, meneliti dan berkongsi kandungan yang menarik, menjadualkan posting, membuat grafik bahan iklan atau apa sahaja melibatkan pengurusan media sosial.

Senarai pautan berkaitan: Hubstaff Talent, CloudPeeps, WorkingNomads.

9. Pelbagai tugas (Miscellaneous tasks)

Terlalu banyak tugas-tugas sampingan atau micro task yang boleh dilakukan sebagai permulaan. Apa sahaja kerja yang boleh dilakukan oleh komputer pada asasnya boleh diterjemahkan dalam bentuk kerja. Mungkin ianya tidak memberi upah yang lumayan tetapi ianya sangat bagus sebagai permulaan sebelum anda melangkah lebih jauh memilih bidang yang sesuai dengan anda nanti.

Contohnya mencari gambar tertentu di internet, sesuatu yang sangat mudah dilakukan tetapi klien tiada masa untuk melakukannya. Ataupun anda ditugas mencari laman web tertentu dan mengumpul e-mail berkaitan. Aktiviti salin-tampal (copy/paste), moderator forum, menyediakan skrip mudah untuk video, memberikan suara anda untuk penyampaian video, melukis atau mereka bentuk icon, dan anda boleh ke laman sesawang Fivver untuk mengetahui pelbagai tugas-tugas yang mungkin anda tidak pernah fikir sebelum ini.

Penafian: Secara jujur saya tidak pernah mencuba senarai pautan berkaitan yang dinyatakan di atas. Ianya sekadar rujukan untuk mencuba di laman web yang dispesifikan untuk kerja tertentu. Saya hanya ada pengalaman berurusan di laman web freelancing bersifat umum dan semua peluang pekerjaan terangkum di satu pusat seperti Upwork, Freelancer, Guru, PeoplePerHour dan Fivver.

Kesimpulan

Anda boleh sahaja melupakan kerja newbie ini dan terus memburu pekerjaan yang sedia membayar upah yang sangat tinggi contohnya dalam bidang pembangunan laman web atau aplikasi jika anda sudah memiliki ilmu pengetahuan yang berkaitan secukupnya. Freelancing tidak tehad kepada dunia IT sahaja, banyak lagi bidang yang mempunyai nilai upah yang sangat tinggi memerlukan pengetahuan tertentu. Mungkin dengan kepakaran yang anda sudah miliki anda bersedia menjawab soalan-soalan teknikal ketika sesi temubual untuk diterima kerja dan bukan mudah untuk bakal majikan anda memberikan upah yang sangat tinggi.

Tetapi bagi mereka yang masih ragu-ragu dan tiada keyakinan untuk mencari majikan yang boleh membayar dengan harga tinggi, maka pekerjaan newbie mungkin sesuai untuk anda. Apa yang penting anda harus menganggap pekerjaan permulaan ini sebagai batu loncatan bagi anda untuk menjadi freelancer yang berkualiti di masa hadapan. Berjayanya anda membuat kerja permulaan sebegini menjadi penanda aras di paparan profil anda yang mana menunjukkan anda boleh membuat kerja dan klien mempercayai anda. Adanya maklum balas yang baik dari bekas majikan anda nanti mengundang persepi yang bagus kepada bakal klien anda untuk kerja seterusnya.

Give a Comment