7 Sebab Freelancer Gagal Dalam Freelancing

7 Sebab Freelancer Gagal Dalam Freelancing

Memiliki kemahiran tertentu yang bagus dan juga kelayakan akademik yang tinggi tidak boleh menjamin kejayaan anda dalam dunia freelancing. Banyak sebab yang mempengaruhi kegagalan seorang freelancer tidak kira sama ada bekerja separuh masa atau sepenuh masa. Pelbagai persoalan perlu dijawab oleh seorang freelancer apabila gagal mendapat klien atau pendapatan yang diingini berdasarkan kemahiran yang dimiliki.

Sebagai seorang freelancer juga anda harus sedaya upaya mengubah minda dan cara fikir luar dari kelompok pemikiran pekerja makan gaji yang setiap hujung bulan menunggu pendapatan masuk ke akaun bank peribadi. Freelancer menuntut anda aktif menjual masa dan kemahiran anda. Selain itu anda juga berkemampuan menguruskan dan membahagikan masa antara keluarga, klien dan kehendak peribadi. Bagi freelancer yang telah melalui segala episod demi episod kegagalan jadikan ia sebagai pedoman untuk bergerak kehadapan dengan lebih maju. Bagi yang baru bermula dalam dunia freelancing, boleh ambil cakna sebab-sebab yang dinyatakan di bawah sebagai pengajaran untuk lebih bersedia di masa akan datang.

1. Sistem kerja yang kurang teratur

pengurusan kerja freelancer

Dalam bidang kerja apa pun, memiliki sistem kerja yang teratur dapat memastikan segala kerja dan tugasan dapat dilakukan dengan baik dan lancar (mungkin dengan sedikit rintangan). Tambahan lagi dalam bidang freelancing di mana anda bekerja sendirian atau mungkin perlu menguruskan suatu kumpulan pekerja. Terdapat pelbagai sistem pengurusan kerja yang mungkin berkesan untuk anda. Anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi atau servis berasaskan web seperti Trello, Asana, Slack dan pelbagai lagi. Anda juga boleh memilih melakukan segalanya secara manual menggunakan diari, buku rekod, sticky pad dan pelbagai kaedah lain.

Pilih suatu sistem yang berkesan untuk anda (dan pasukan anda). Apa yang penting adalah semua tugasan perlu diselesaikan dengan baik, teratur dan tepat pada masanya. Ini adalah penting supaya anda dapat meninggalkan ekspresi atau maklum balas yang baik terhadap klien yang sekarang mahupun yang akan datang. Dalam bidang freelancing, kualiti kerja adalah suatu aspek yang penting dalam memastikan kejayaan sesuatu projek. Tanpa sistem yang teratur, anda mungkin berhadapan dengan tekanan dari klien, masa yang terbazir, kualiti kerja kurang memuaskan, hasil pendapatan yang tidak setimpal kerana berlaku pembaziran kos dan pelbagai kerumitan lain yang akhirnya menjadikan kerjaya ini gagal.

2. Mengabaikan masalah

klien masalah meme

Salah satu kelemahan yang memungkinkan kegagalan anda sebagai freelancer adalah aspek pengabaian masalah. Anda tidak menyelesaikan masalah tersebut namun anda meletakkan masalah itu di sudut lain untuk sengaja dilupakan. Ini adalah satu kesalahan. Apa sahaja masalah yang anda hadapi ketika melakukan projek atau tugasan anda perlu bincang bersama klien anda agar masalah ini tidak akan terheret pada masa akan datang bersama hal-hal yang lain.

Dengan menyelesaikan masalah yang timbul pada ketika projek dijalankan, anda bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan klien terhadap anda tetapi juga dapat mengelak daripada masalah-masalah lain yang mungkin terlibat bersama masalah yg anda abaikan. Bayangkan anda mengendalikan dua atau tiga orang klien dalam satu bulan, sifat bertangguh untuk memberitahu masalah yang anda hadapi dalam projek klien akan mengundang masalah kepada klien lain juga. Berterus terang dengan klien apa masalah anda dan cari penyelesaian terbaik.

3. Gagal menyerlah

client 2 meme

Jika anda pernah bekerja makan gaji dan kini ingin mengorak langkah dalam bidang freelancing, satu perkara yang perlu anda lakukan untuk berjaya adalah dengan menjual diri anda. Tidak, bukan dengan menjual tubuh badan tetapi dengan prestasi kerja yang baik, pengalaman, ilmu dan kejayaan yang telah anda usahakan. Ini bukan masanya untuk merendah diri.

Prospek kerja anda sangat luas, tetapi saingan kerja juga sangat banyak. Anda sangat perlu menitikberatkan hasil prestasi kerja yang lepas dan kejayaan yang pernah anda kecapi. Anda boleh mulakan dengan menyenaraikan pencapaian terbaik sepanjang hayat anda. Selain itu, senaraikan juga kelayakan dan pencapaian akademik anda. Segala jenis kursus dan latihan yang anda ikuti juga boleh disenaraikan. Anda juga boleh menyenaraikan segala aktiviti-aktiviti kelab, persatuan, pertandingan, latihan yang anda ikuti. Anda juga perlu menyenaraikan pencapaian yang dapat memberikan suatu tanggapan anda layak untuk projek atau kerja yang anda mohon.

Pengalaman kerja, kursus, dan lain-lain hal yang berjawatan dan mempunyai sumbangan anda mampu menjadi tambah nilai yang baik untuk membuktikan anda seorang yang aktif dan mampu memimpin satu pasukan. Ini adalah sangat penting kerana anda dan klien anda akan bekerja sebagai satu pasukan dalam suatu masa. Jika anda tidak menonjol, ramai saingan kerja anda akan mendapat peluang yang lebih besar dan anda akan ketinggalan untuk mendapatkan prospek kerja anda.

Selain daripada prestasi kerja, kelayakan akademik dan penonjolan sikap kepimpinan, pengkhususan terhadap sesuatu bidang umum juga boleh disertakan. Sebagai contoh dalam bidang pemasaran sosial media, anda hanya tahu selok belok dunia Instagram sahaja. Maka fokus tekankan kemahiran anda tentang dunia Instagram. Mungkin akan ada beberapa projek yang terlepas tetapi anda akan berpeluang mendapat projek yang lebih sesuai dengan diri anda. Apabila memiliki pengkhususan juga bermakna kejayaan projek akan lebih terjamin dan mewujudkan lebih banyak peluang kerja pada masa akan datang.

4. Tidak mampu bersaing

pesaing meme

Bidang freelancer adalah bidang yang semakin mendapat tempat sebagai suatu pilihan kerja yang menjanjikan pulangan pendapatan yang lumayan. Maka tidak hairanlah jika pesaing-pesaing projek yang anda miliki sekarang akan terus bertambah dari masa ke masa. Malah pesaing-pesaing ini mungkin memiliki bakat dan kelayakan yang lebih dari apa yang anda miliki.

Anda juga adalah pesaing mereka. Jika anda tidak kreatif dalam menonjolkan diri, tidak melakukan projek dengan baik, tidak menjaga reputasi kerja dan tidak menjaga klien, anda akan terus tenggelam di dalam bidang ini. Untuk terus kekal berjaya di dalam bidang freelancer, anda harus mengekalkan sifat persaingan anda dengan bekerja kuat, agresif dan kreatif untuk menyakinkan klien anda bahawa anda mampu memberikan komitmen dan hasil kerja yang lebih baik berbanding pesaing lain.

5. Terlalu risau keadaan pasaran kerja

kerja meme

Bidang freelancer adalah suatu bidang yang memiliki pelbagai subjek dan prospek yang sangat luas. Apabila anda terlalu risaukan pasaran kerja yang anda sedang lakukan pada saat ini, anda akan hilang fokus dan tidak dapat menyiapkan tugasan atau projek dengan baik. Perasaan risau itu akan muncul selepas habisnya kerja yang ditetapkan oleh klien dan anda harus mencari klien baru.

Bidang freelancer akan sentiasa berubah- ubah mengikut edaran waktu dan perkembangan teknologi. Sebagai contoh, dahulu pemasaran melalui email sangat penting, kemudiannya pemasaran melalui sosial media pula menjadi sandaran. Kini dunia meta pula menjadi sebutan ramai pengguna internet.

Sebagai seorang freelancer, anda harus perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dalam apa jua situasi kerja. Anda juga harus bersedia untuk berubah bidang dan sedia untuk sentiasa mencuba perkara baru pada setiap masa. Tidak ada gunanya anda risaukan perkara yang berada di luar kawalan anda. 

6. Gagal berunding dengan baik

klien meme

Salah satu kemahiran asas yang nampak mudah tapi memberi kesan yang agak besar dalam kerjaya sebagai freelancer adalah kemahiran untuk berunding. Antara sebab mengapa anda perlu berunding dengan baik adalah supaya anda dapat mengelakkan konflik dengan klien. Sebagai freelancer, anda perlu mengutamakan kualiti kerja lebih dari segalanya. Jika anda tidak berunding dengan baik, hal ini mungkin menyebabkan kualiti kerja anda kurang menyerlah dan mengakibatkan anda sukar untuk mendapat klien pada masa yang akan datang.

Anda tidak perlu takut untuk berdebat atau berbincang dengan klien untuk mencapai situasi menang-menang bagi pihak anda dan klien. Dengan diskusi secara berhemah, anda dapat mengetahui isu-isu klien dan begitu juga sebaliknya di pihak klien. Ada 2 prinsip yang perlu anda kekalkan ketika berunding. Yang pertama adalah tumpuan rundingan perlulah mengenai isu permasalahan dan matlamat yang ingin dicapai. Yang kedua adalah elakkan emosi manusia ketika berunding.

Dengan mengamalkan kedua prinsip ini, anda dan klien dapat berbincang dengan lebih baik untuk menyelesaikan isu untuk mencapai matlamat projek. Apabila anda berjaya berunding dengan baik, projek yang akan dijalankan dapat dilaksanakan dengan tenang dan sempurna untuk klien.

7. Kurang memahami aspek perniagaan

client meme

Freelancing adalah satu cabang perniagaan. Anda menjual masa, bakat dan servis anda. Walaupun anda melakukan hal ini sendirian, tanpa pejabat dan staff, perniagaan adalah mengenai transaksi kewangan untuk servis atau produk yang anda sediakan. Freelancing bukanlah perniagaan tradisional yang memerlukan pejabat, jabatan dan staf untuk diuruskan. Dengan memperlakukan freelancing sebagai perniagaan, anda akan dapat menguruskan kewangan dan potensi kerja anda dengan lebih baik.

Antara perkara yang perlu anda pertimbangkan dalam perniagaan servis freelancing adalah pemasaran, penjenamaan, kos dan keuntungan, penjualan dan pembelian. Pemasaran dalam bidang freelancing adalah bersifat digital. Jadi skil-skil pemasaran anda perlulah mempunyai kepelbagaian agar servis yang anda ingin pasarkan mencapai pelbagai kelompok masyarakat di setiap penjuru dunia.

Selain itu, perkara yang anda perlu pertimbangkan ketika membina jenama perniagaan adalah jenis servis atau produk yang ingin anda bekalkan, praktis undang-undang tempatan mahupun digital, dan juga pengiklanan. Sebagai suatu entiti perniagaan, anda perlu mempunyai informasi mengenai kos dan keuntungan dan juga pembelian dan penjualan. Ini adalah kerana melalui pengiraan kos dan pembelian, maka anda boleh menetapkan modal perniagaan yang anda perlukan untuk beroperasi. Dan melalui penjualan dan keuntungan pula dapat menjadikan perniagaan ini beroperasi dengan seimbang dengan mengetahui duit hasil anda akan mampu menanggung kos operasi perniagaan dan memberikan anda pulangan yang setimpal. 

Kesimpulan

Pokok pangkal segalanya bergantung pada diri anda. Dunia freelancing adalah berkenaan diri anda. Anda yang menentukan segalanya. Anda yang mencorakkan ke arah mana hala tuju bisnes anda. Anda perlu lihat dan kaji potensi diri. Sesetengah freelancer ingin mencuba semua bidang yang mereka rasakan mereka boleh lakukan. Ianya tidak salah. Tetapi lebih baik anda pilih dan fokus satu bidang sahaja dan berusaha sedaya upaya untuk mahir dan pakar dalam bidang yang anda pilih itu.

Sebagai contoh anda telah memilih bidang penterjemah berbanding bidang lain yang lebih luas. Fokus ke arah itu dan berikan sepenuh komitmen supaya anda lebih tahu selok belok dunia penterjemahan. Dari situ anda akan belajar bagaimana untuk lebih menonjol dan mendapat upah yang lebih tinggi berbanding penterjemah lain. Anda akan lebih tahu harga diri dan nilai masa anda untuk melakukan kerja tersebut. Dan ada klien sanggup bayar harga yang mahal kepada penterjemah professional berbanding penterjemah yang hanya melakukan sekadar sebahagian dari nilai tambah kemahiran yang dia ada.

Akhir kata, walau apa sahaja kegagalan yang anda telah lalui, jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya di masa hadapan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia freelancing. Sekian terima kasih.

Give a Comment