Istilah ‘Bekerja Dari Rumah’ adalah terma yang tidak asing lagi pada ketika dunia dilanda Pandemik Covid-19. Namun, telah ada yang memiliki kerjaya dengan bekerja dari rumah sebelum bermulanya pandemik dan berjaya memiliki pendapatan yang agak lumayan. Berikut merupakan tips-tips untuk anda yang sedang berfikir untuk memulakan kerjaya sebagai freelancer atau yang inginkan penambahbaikan fokus ketika bekerja dari rumah.
1. Penyediaan Kawasan/ Ruangan Khas
Sediakan suatu ruangan khas untuk anda bekerja. Susun ruangan tersebut sebagaimana suasana pejabat/tempat kerja yang anda inginkan. Antara kelengkapan pejabat yang mungkin anda perlu pertimbangkan adalah meja, kerusi, set peralatan alat tulis, set komputer atau komputer riba, dan mesin pencetak.
Jika anda perlu berhubung dengan rakan sekerja atau pelanggan, anda juga perlu menimbangkan untuk memiliki gajet-gajet sidang media seperti webcam, mikrofon, dan alat bantu dengar. Anda juga boleh menghiaskan ruangan tersebut dengan pokok kecil atau gambar keluarga tapi perlulah menggunakan seminimum mungkin kawasan kerja agar fokus kerja anda tidak terganggu.
2. Sediakan Jadual
Sediakan jadual untuk peruntukan waktu anda bekerja, waktu bersama keluarga atau waktu untuk aktiviti-aktiviti lain. Salah satu tujuan penyediaan jadual ini adalah supaya anda dapat mengelakkan pembaziran masa dan kos semasa menyiapkan sesuatu projek. Ini adalah penting kerana jika berlaku ketirisan kepada kedua-dua faktor tersebut, projek anda mungkin tergendala, dan tidak dapat disiapkan pada masa yang telah dipersetujui oleh pelanggan.
Selain itu, tujuan penyediaan jadual juga adalah untuk pengurusan bahan kerja dengan lebih sistematik agar fokus kerja anda tidak terganggu. Tujuan lain penyediaan jadual kerja adalah untuk mengawal sumber tenaga kerja. Tidak kira jika anda memiliki kakitangan atau bekerja sendirian, pengawalan sumber tenaga kerja secara efektif dapat membantu melancarkan sesuatu tugasan dalam masa yang ditetapkan. Malah, dengan menyediakan jadual, masa anda dapat diimbangkan dengan baik antara kerja dan keluarga.
3. Rancang Tugasan Kerja
Rancang tugasan yang anda terima. Keutamaan haruslah diberikan samaada mengikut kepentingan projek atau tarikh akhir projek. Lima aspek utama dalam perancangan tugasan kerja adalah:
- Objektif Tugasan
- Perancangan Masa
- Sumber
- Pembahagian Tugas
- Strategi
Perkara pertama dalam merancang sesuatu tugasan adalah dengan menggariskan objektif-objektif yang berkaitan agar anda dapat melihat dengan lebih jelas hala tuju perancangan yang bakal digerakkan. Setelah itu, rancang masa yang anda perlukan untuk menyiapkan tugasan berdasarkan objektif-objektif yang telah anda sediakan. Perancangan masa adalah satu isu penting agar anda dapat menyiapkan tugasan yang anda miliki dalam tempoh yang telah ditetapkan dan mengelakkan pekerjaan yang tertunda dan mungkin mengganggu projek lain yang sedang anda usahakan.
Dalam aspek sumber, anda perlu mengenal pasti objek-objek yang bakal anda gunakan sepanjang tugasan dijalankan. Objek-objek ini perlu disediakan atau dipastikan mencukupi agar perjalanan garis masa yang telah anda sediakan tidak terganggu dan urusan kerja anda dapat berjalan dengan lancar dan tenang. Seterusnya, bahagikan tugasan mengikut keperluan. Jika anda memiliki pekerja atau rakan setugas, mereka perlu jelas dengan tugasan yang diberikan.
Dan yang terakhir adalah perbincangan strategi untuk mencapai objektif tugasan. Melalui perbincangan strategi, anda perlu juga menggariskan risiko dan cabaran yang akan anda lalui sepanjang menyiapkan tugasan. Ini adalah bertujuan supaya anda dapat merancang dengan baik jika halangan-halangan tertentu perlu anda tangani dan selesaikan untuk memenuhi objektif yang telah digariskan.
4. Batas Gangguan Kerja
Apabila anda bekerja dari rumah, akan ada gangguan-gangguan dari sahabat atau ahli keluarga. Ini mungkin terjadi kerana mereka tidak memahami hakiki kerja anda. Walaupun anda berada dirumah tidak bermakna masa anda tidak perlu dirancang. Masa adalah aspek yang sangat penting semasa bekerja di rumah. Anda perlu jelaskan hal ini, dan tetapkan suatu batasan agar keluarga dan sahabat anda memahami malah mungkin membantu anda bekerja dengan lebih tenang. Semasa berkerja dari rumah, sokongan dari ahli keluarga dan sahabat adalah satu isu yang kritikal dan perlu ditangani dengan sebaiknya.
5. Bersenam
Ketika anda bekerja dari rumah, jadikan senaman suatu rutin harian atau mingguan anda. Anda boleh memilih untuk melakukannya pada waktu pagi atau petang. Bersenam bukan sahaja bermanfaat untuk fizikal anda malah ia dapat membantu mengawal emosi dan kesihatan mental yang lebih baik.
Dengan bersenam, darah anda akan mengalir dengan lebih baik dan juga mampu menggalakkan penghasilan Hormon Endorfin. Hormon ini juga dikenali sebagai Hormon Gembira mampu untuk mencetuskan ‘rasa positif’ pada diri anda dan seterusnya membantu anda untuk bekerja dengan lebih baik ketika bekerja dan ketika berhadapan dengan tekanan.
6. Berehat Sebentar
Peruntukan sedikit waktu untuk berehat dari kerja atau tugasan yang sedang anda lakukan. Gunakan masa ini untuk regangan badan, melelapkan mata untuk seketika, makan dan lain-lain. Waktu rehat ini boleh dilakukan dalam masa 15 minit ke 1 jam. Walaupun nampak mudah dan singkat, aktiviti ini boleh membantu minda dan fizikal anda berhenti bekerja seketika dan mengecas semula tenaga yang anda perlukan untuk berfikir dengan idea yang lebih kreatif dan kritis
7. Penggunaan Peranti dan Aplikasi Komputer.
Pada masa sekarang terdapat pelbagai peranti dan aplikasi komputer yang dapat membantu anda untuk lebih mudah melakukan sesuatu tugasan dan komunikasi dengan rakan setugas mahupun pelanggan. Antara aplikasi komputer yang biasa digunakan adalah Zoom, Whatsapp sebagai bantuan komunikasi untuk kita berhubung dengan pelanggan atau rakan sekerja. Anda boleh menggunakan aplikasi Evernote untuk mencatatkan nota dan Dropbox untuk urusan perkongsian fail yang mudah, pantas dan dipercayai.
Aplikasi-aplikasi terbaru sentiasa direka untuk tujuan kemudahan komunikasi. Ditambah lagi dengan situasi pandemik/endemik yang berlaku sekarang dan juga kebergantungan syarikat-syarikat kepada freelancer atau pekerja yang bekerja dari rumah. Anda perlulah sentiasa mengikuti perkembangan semasa aplikasi-aplikasi yang ada yang mampu menjadikan perancangan dan kerja anda lebih mudah.
8. Hadkan Masa di Media Sosial
Media sosial adalah tempat yang bagus untuk mencari dan berkongsi maklumat tetapi ia juga mampu mengalihkan tumpuan anda terhadap fokus kerja anda. Apabila anda berada di halaman media sosial, anda berkemungkinan akan terpengaruh untuk berkongsi cerita dan pendapat, menyapa teman-teman yang aktif, membaca berita dan lain-lain aktiviti yang menyimpang dari tujuan asal anda untuk mencari maklumat.
Malah, anda juga mungkin akan membaca berita, artikel, melihat video dan lain-lain yang akan mengambil masa yang agak lama sebelum anda sedar anda sedang bekerja. Walaupun bukan berada di pejabat atau bukan terikat dengan peraturan, anda harus mengehadkan masa di media sosial agar kerja anda tidak terganggu. Tanpa sekatan pada waktu anda di media sosial, masa anda akan terbazir tanpa faedah dan tujuan pada waktu yang anda tetapkan untuk bekerja.
9. Positifkan Diri
Bukan mudah untuk menghadap kerja secara sendirian lebih lagi jika anda sudah terbiasa bekerja dalam pasukan. Tekanan dari pelanggan, idea dan penyelesaian kerja yang sukar, tekanan dari keluarga dan lain-lain masalah yang perlu anda tempuh secara sendirian mampu melemahkan semangat anda untuk terus bergerak ke depan.
Antara perkara yang anda boleh lakukan untuk kekal positif adalah dengan mengambil sejenak waktu dan lakukan perkara yang anda suka. Mendengar muzik, melihat video lucu, bermain dengan haiwan peliharaan dan lain-lain hal ringan yang boleh mengalihkan anda dari tekanan negatif. Selain itu, berkongsi hal-hal yang positif bersama rakan dan orang sekeliling juga boleh membantu. Apabila kita berkongsi hal-hal yang tenang, mungkin juga lucu, simpati dapat menjadikan persekitaran kita berada dalam keadaan yang sama.
Akhir Kata
Akhir kata, tetapkan matlamat, uruskan tugas dan kerja dengan baik dan jangan segan untuk meminta bantuan jika perlu. Kelilingi persekitaran kerja anda dengan motivasi untuk berjaya dan jangan mudah berputus asa. Ingatlah bahawa setiap apa pun pekerjaan pasti ada onak duri yang perlu dilalui. Seperti peribahasa Melayu, “laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan”. Semoga tips-tips ini sedikit sebanyak dapat membantu ketika anda bekerja dari rumah sama ada sebagai Freelancer atau ketika anda dalam kuarantin pandemik.