Terkenang saya sekitar 12 tahun dahulu dalam tahun 2010 atau lewat 2009 bila mana saya tercari-cari cara bagaimana mendapat pendapatan secara online dan hanya duduk di rumah. Ketika itu memang sedia maklum perlu ada laman web sendiri untuk menjana pendapatan. Hendak bercerita jerih perih berjuang di arena blog melalui Adsense, Clickbank, Amazon, tajaan artikel dan pelbagai sumber mungkin perlu dilanjutkan di penulisan lain artikel. Fokus artikel ini berkaitan freelancing yang mana saya sudah perincikan pada artikel lepas ianya bukannya pendapatan pasif (passive income) tapi ianya adalah pendapatan aktif (active income). Tetapi boleh sahaja bergerak ke arah pasif bila anda mempunyai freelancer bekerja di bawah anda. Apa pun secara umum, freelancing tetap pendapatan aktif.
Sebelum saya mengetahui kewujudan platform freelancing seperti Upwork, Freelancer.com, PeoplePerHour dan sebagainya, satu dekad dahulu platform forum menjadi sandaran untuk para pencari kerja online atau freelancer. Masih segar dalam ingatan saya membuat kerja di forum seperti Warrior Forum, Digital Point Forum dan pelbagai lagi forum-forum lain yang menawarkan kerja secara online. Versi tempatan adalah forum WangCyber (yang saya tahu, mungkin banyak lagi). Antara kerja simple yang ditawarkan adalah tukang komen, tukang membuat pautan ke laman web, tukang membuat hantaran di forum. Paling tinggi saya pernah dapat satu hantaran forum bersamaan 1usd.
Lupakan nostalgia lama saya, mari kita fokus ke topik yang sebenarnya, bagaimana untuk mendapatkan klien pertama anda jikalau anda berminat menjadi freelancer? Umum tahu, ada yang jadikan dunia freelancing sekadar pendapatan tambahan dan ada yang melakukannya secara sepenuh masa. Andalah boss andalah yang menentukan waktu kerja anda dan pendapatan yang anda inginkan. Selagi larat selagi boleh buat kerja, tiada had pendapatan. Persoalannya, bagaimana pula hendak jadikan aliran tunai pendapatan anda cantik dan sentiasa ada klien? Jawapannya anda harus mendapatkan klien pertama dahulu. Klien pertama anda membuka segala kunci untuk klien seterusnya.
7 Langkah Mendapatkan Klien Pertama
Secara umum artikel di blog saya banyak tertumpu pada klien luar negara melalui pelbagai platform online, hakikatnya tips dan cara tetap sama. Boleh diaplikasikan kepada sasaran klien tempatan. Yang berbeza mungkin pendapatan dalam ringgit atau USD.
1. Kenali potensi diri dan kemahiran yang anda ada
Mungkin anda perlu duduk bermuhasabah seorang diri dengan mencari ketenangan di pantai yang indah atau melihat suasana yang menyenangkan hati anda. Kemudian jauh di sudut hati cuba anda fikir, apakah skill yang ada dalam diri anda. Masa anda belajar di Universiti dahulu atau pusat pengajian atau sekolah, apakah kemahiran yang anda miliki? Jika anda masih buntu, anda boleh lihat senarai kemahiran atau skill yang ditawarkan di platform freelancing di bawah.
Sebagai contoh sahaja, setelah anda analisa diri sendiri, maka anda dapati anda kaki sosial media, hari-hari buka Instagram dengan Facebook. Dah tu kaki movies pula tu, siri TV Netflix, Marvel habis semua khatam. Bermakna pemahaman English anda boleh tahan. Lepas tu anda teringat, masa zaman belajar dulu pernah tahu sikit-sikit Microsoft Excel.
Maka servis yang anda boleh tawarkan.
- Mengendalikan sosial media klien
- Menjadi penterjemah English ke Malay
- Menguruskan data klien menerusi Excel
Tetapi sebaliknya jika anda sudah pun memiliki kemahiran spesifik tertentu seperti reka bentuk laman web, pengaturcaraan computer, rekabentuk aplikasi, pengurusan akaun, dan lain-lain maka anda boleh terus cuba memohon melalui platform freelancing.
Jika anda masih lagi buntu, anda boleh cuba lihat profil-profil freelancer di laman web freelancing dan dapatkan idea bagaimana untuk meniru dengan bijak. Bukannya tiru sebiji-sebiji idea profil mereka, cuma hanya dapatkan idea apa yang anda hendak fokus.
Taip bidang umum anda di ruangan kotak carian, kemudian lihat senarai freelancer untuk dapatkan idea.
2. Mula bina portfolio
Setelah anda membuat keputusan bidang yang anda ingin ceburi dalam freelancing, langkah kedua yang sangat penting bagaimana anda hendak yakinkan bakal klien anda yang anda memang memiliki kemahiran tertentu. Apa bukti anda boleh buat dan bagaimana anda hendak klien percayakan anda? Jawapannya ialah portfolio. Portfolio adalah kompilasi segala hasil kerja anda dan mengandungi dokumen yang membuktikan anda memang mahir dalam bidang yang anda ceburi.
Persoalannya bagaimana pula jika anda hanya baru bermula dan tiada langsung pengalaman mengenai skill anda itu? Jawapannya anda tiada pilihan lain. Anda kena bina juga portfolio anda bermula dari kosong. Anda harus ingat, portfolio bukannya resume. Portfolio mesti mempunyai segala hasil kerja anda untuk dipersembahkan sebagai bukti kepada bakal klien yang anda memang berbakat dalam bidang tertentu.
Kalau anda ingin menjadi penterjemah. Boleh lampirkan contoh anda sendiri dengan menunjukkan hasil terjemahan anda. Jikalau anda pandai menguruskan data, boleh paparkan contoh pengurusan data yang anda telah buat dengan meletakan fail Excel atau Google spreadsheet sebagai contoh.
Dimana anda harus letak segala dokumen dan bukti ini? Tentu di profil platform freelancer itu sendiri seperti Upwork atau pun laman sosial untuk golongan professional pencari kerja seperti LinkedIn. Ataupun anda boleh membuat laman web versi percuma seperti Wix, WordPress dan sebagainya khas untuk memaparkan segala skill anda.
Mengapa portfolio sangat penting? Kerana first impression atau reaksi kali pertama sangat penting bagi seorang klien untuk memilih anda dari beratus orang mungkin memohon kerja yang sama. Boleh sahaja anda tidak meletakkan sebarang portfolio dan menawarkan kerja secara percuma untuk sementara bagi membuktikan anda boleh membuatnya. Tetapi jika saya berada di pihak klien, saya lebih gemar menerima freelancer yang ada usaha dan serius untuk menonjolkan kemahiran berbanding dengan freelancer yang lenggang kangkong tangan kosong dan hanya berdasarkan kata-kata sahaja.
Secara jujur, apa pun bergantung kepada industri tertentu. Boleh juga berdasarkan kata-kata sahaja tanpa portfolio ataupun bahasa pasar modal air liur, ketika sesi temuduga dengan klien pastikan jawapan anda tepat dan diinginkan klien. Contoh anda memang mempunyai pengalaman dalam sistem komputer, soalan berkaitan sistem komputer yang mempunyai masalah anda mampu selesaikan dan tunjukkan secara live di depan klien.
3. Perincikan sasaran bakal klien anda
Sesudah anda mempunyai portfolio yang diinginkan, maka anda boleh perincikan dan buat senarai siapa bakal klien anda dan sasaran yang anda hendak cuba jual kemahiran anda. Sama ada klien itu wujud di dunia nyata (offline) atau alam maya (online), itu terpulang kepada anda untuk melakukan carian.
Sekadar contoh jika anda seorang pereka grafik, anda perlu berfikir sejenak dan senaraikan siapa yang patut dapatkan servis anda. Pembina kandungan (content creator untuk Youtube, sosial media dan lain-lain) mungkin perlukan servis membuat logo, edit gambar atau video dan sebagainya. Bisnes persendirian atau mereka melakukan dropshipping juga perlukan bahan bantuan pengiklanan yang menarik.
Begitu juga penterjemah. Netflix, Disney Plus dan lain mega streaming mungkin agak sukar untuk anda tembusi menjadi seorang penterjemah sarikata filem dan siri TV. Anda boleh kecilkan lagi skop anda, mungkin ada laman web antarabangsa yang mahu menjual di rantau asia tenggara perlukan penterjemah untuk sesuatu produk, atau pun Youtuber yang baru meningkat naik mahukan kandungan Englishnya didengar dan difahami dengan sari kata yang tepat.
Saya hanya sekadar bagi contoh, anda lebih faham bidang anda. Kepentingan menyenaraikan target klien anda lebih memudahkan anda untuk merangka plan dan strategi untuk mendapatkan klien.
4. Mulakan langkah untuk memohon
Anda boleh terus hubungi bakal klien anda yang telah anda senaraikan dan menawarkan servis anda kepada mereka. Tidak semestinya melalui telefon atau melakukan perjumpaan di premis, menerusi email atau pun mesej di laman sosial juga boleh dilakukan. Tetapi berhati-hati anda mungkin dianggap sebagai scammer atau menyemakkan peti mesej seseorang dengan mesej promosi servis anda. Ketahui waktu terbaik untuk hubungi dan semestinya ketika bakal klien anda menyatakan mereka memerlukan servis tersebut. Tentu agak sukar dengan kaedah tradisional begini, bagai bulan jatuh riba menunggu.
Maka jalan terbaik selain kaedah tradisional adalah terus menyertai platform di mana semua klien berkumpul di suatu tempat dan menawarkan kerja tertentu. Ianya sangat sesuai bagi mereka yang introvert dan lebih selesa berurusan secara alam maya.
Untuk perincian yang lebih teliti, boleh membaca artikel saya mengenai senarai laman web freelancer untuk dipohon.
5. Jangan lupa promosi diri sendiri
Hebahan umum dan promosi siapa diri anda adalah sangat penting. Jalan mencari klien yang diinginkan boleh juga menerusi promosi diri sendiri kemahiran serta servis yang anda tawarkan. Buat sosial media khas untuk menawarkan skill dan kemahiran anda. Bina profil khas Facebook dan Instagram dan jadi seorang yang aktif posting dan berbicara hal yang bermanfaat mengenai servis anda. Follow IG bakal klien anda dan juga libatkan diri dalam sesi bual di ruangan komen dengan bakal klien anda. Masuk dalam Facebook group berkaitan bidang anda.
Anda harus memastikan anda wujud atau pun bahasa sembang kedai kopi, tunjuk muka di arena atau industri yang anda ceburi. Contohnya anda seorang pereka grafik, follow sosial media pereka grafik yang terkenal atau suam-suam kuku. Libatkan diri dalam sebarang komen atau pendapat. Bina jaringan dan perhubungan sesama rakan dalam industri dengan tambah rakan di Facebook atau follow IG berkaitan atau libatkan diri dalam Tweet mereka yang sama industri.
Selain dunia online, jangan dilupa dunia nyata offline. Beritahu rakan-rakan anda, saudara mara, adik beradik apa servis yang anda buat. Ataupun boleh sahaja melakukan aktiviti dengan orang yang tidak dikenali seperti menyertai seminar bermanfaat, jemaah tazkirah, aktiviti perkhemahan dan lain-lain. Anda tidak tahu, mungkin orang yang anda tidak kenal atau baru saja kenal memerlukan servis anda ketika tidak sengaja bersembang hal peribadi.
6. Berunding untuk memenangi hati bakal klien
Contoh Iklan Klien: Kami mencari pereka grafik untuk mereka logo terbaru produk kopi kami
So anda sebagai freelancer, bagaimana untuk memohon untuk mendapatkan kerja tersebut andai kata terdapat 30 orang pereka grafik yang memohon kerja yang sama? Sudahlah begitu, kesemua 30 orang tersebut semuanya ada portfolio masing-masing. Bagaimana anda hendak memastikan anda layak dari 30 orang tadi? Jawapannya anda perlu berunding atau bahasa kedai kopi, try nego nego, or sembang tepi tengok macam mana.
Bab mengenai perundingan dengan klien akan saya perincikan dengan lebih mendalam melalui penulisan seterusnya, pokok pangkalnya, anda harus straight to the point menyelesaikan masalah klien dan meletakkan diri dalam anda situasi klien. Anda perlu menulis surat permohonan (cover letter) kepada klien dari sudut pandang anda sebagai seorang klien yang mencari seseorang untuk menyelesaikan masalah iaitu membuat logo (sekadar merujuk contoh iklan di atas).
Kesilapan terbesar freelancer adalah hanya dengan memperkenalkan diri dan menceritakan pengalaman kerja atau akademik dan terus melambakkan segala portfolio di depan mata klien dengan harapan klien akan menerimanya. Ya mungkin klien akan menerimanya dan rezeki berpihak pada anda. Tetapiā¦Kalau dah 30 orang yang membuat perkara yang sama, apa yang membezakan antara kesemuanya?
So anda harus lebih menonjolkan diri atau pun dalam English, stand out among others. Selain memberikan segala portfolio, anda harus terus memberikan lakaran logo anda dan membuat cadangan demi cadangan (logo-logo lain) untuk memastikan logo produk klien and itu terbaik. Tidak perlu menunggu klien sudah bagi kerja baru buat, sebaliknya ketika baru memohon lagi anda terus buat kerja dan berikan logo berkaitan walaupun belum tentu anda akan dapat kerja yang ditawarkan. INGAT, anda sekarang dalam posisi mencari klien pertama! So sedikit pengorbanan dilakukan.
Kaedah ini terpakai untuk semua industri, bukan hanya rekaan grafik.
Contoh iklan klien: Kami memerlukan individu yang boleh memasukkan data belian pelanggan beserta produk dalam Excel
Maka terus berikan fail Excel atau sheet yang mengandungi kerja sama seperti yang klien inginkan dan berikan cadangan apa yang boleh untuk improvekan kerja klien. Runding masalah yang klien hadapi dan tawarkan solusi yang terbaik.
7. Analisa kesilapan dan muhasabah diri
Andai sudah tertulis rezeki anda dapat secepat mungkin, tiada siapa dapat menghalang. Hari ini baru tahu mengenai freelancing di pasaran luar negara, hari ni juga mohon, hari ni juga terus dapat, dan esok boleh terus menjana USD sebanyaknya. Mudah bukan? Tetapi tidak semua orang begitu. Ada yang kena berusaha dahulu.
Saya sendiri melalui pengalaman perit dan sudah pun putus asa dan menganggap mana mungkin orang Amerika atau UK nak pandang orang melayu. Baik cari bangsa hidung tinggi juga yakni orang putih juga. Selepas 6 bulan saya mencuba nampaknya seorang klien pun tidak membalas permohonan saya dan kotak simpanan emel saya terus sepi. Kemudiannya saya berhenti sekejap 2-3 bulan sebelum kembali cuba-cuba memohon dan memperbaiki banyak kesilapan.
Akhirnya, ada klien yang membalas (dari UK). Seronok bukan main kepalang. Tetapi akhirnya saya kena scam dan tidak dibayar langsung. Sudahlah klien pertama, kena tipu pulak tu. Saya akan perincikan apa yang berlaku di penulisan akan datang. Apa pun yang penting semakin banyak anda cuba memohon dan menulis surat iringan (cover letter) dan proposal (cadangan) kerja untuk bakal klien, anda akan temui sesuatu kesilapan yang anda telah buat.
Katakan anda telah memohon hampir 50 bakal kilen, maka anda boleh perincikan bilangan klien yang tolak permohonan anda, yang seakan berminat pada mulanya kemudian sepi, yang hanya tengok (seen) proposal anda. Dari situ anda akan lihat ada yang sesuatu tidak kena. Kemungkinan profil anda gambarnya tidak begitu kacak or cantik? Kemungkinan ayat pengenalan profil anda atau portfolio kurang menarik? Mungkin klien nyatakan keperluan kerja yang lain anda hantar proposal kerja yang lain. Atau anda boleh bertanya secara sopan kepada klien yang tolak permohonan anda kemungkinan mereka ada jawapan tentang diri anda untuk anda perbaiki kesilapan.
Dari data kesilapan yang anda kumpul dan analisa terperinci, maka bergerak kehadapan dengan memohon lagi kerja yang berkaitan. Anda akan sedari setiap niche atau industri akan ada pattern atau corak seakan sama. Ibarat soalan past year SPM, setiap tahun corak soalan berbeza tetapi jawapan sama. Pendek kata anda harus kerap memohon dan lihat sendiri pattern yang ada dalam industri anda. Setiap kali klien membuka peluang kerja berkaitan bidang anda, anda dah tahu nak jawab apa atau berikan cadangan apa berkaitan kerja tersebut. Tidak lagi secara membantai tuli ketika menulis surat iringan.
Kesimpulan
Berjayanya anda untuk mendapatkan klien pertama sama ada di dalam atau luar negara akan membuka seribu pintu peluang yang lain lagi. Bila klien mula percayakan anda (pastikan anda buat kerja betul-betul, jangan main-main pulak, rosak reputasi nanti), maka klien akan berikan kerja yang lain atau anda akan dapat pengesyoran terbaik atau penarafan bintang tertentu yang anda sememangnya terbukti berkemahiran dalam bidang anda ceburi.
Sama ada minggu depan, bulan depan atau 6 bulan lagi atau tahun depan baru anda akan dapat, ianya proses pembelajaran berterusan dan anda akan tahu cara terbaik mendapatkan klien yang diinginkan. Apa yang penting anda harus bermula dahulu, langkah pertama penting. Ramai yang rasa berat hati dengan langkah pertama sebab nak kena hadap kegagalan dahulu. Tetapi dengan langkah pertama la seorang bayi boleh merangkak sampai lah boleh berlari.
Dunia freelancing tidak sama seperti memohon kerja secara formal di syarikat-syarikat besar atau bertauliah dalam bidang tertentu, ianya dunia yang berbeza dan memerlukan pendekatan berbeza. Sebab paling utama adalah dalam dunia freelancing luar negara anda boleh bekerja di mana saja asalkan ada internet, waktu anda sendiri, kadar upah anda sendiri, dan tiada pakaian khas kerja. Janji klien bagi kerja, anda siapkan dalam tempoh tertentu.
Akhir kata, sama ada anda seorang yang sudah berkemahiran tinggi dalam bidang tertentu atau pun anda baru sahaja hendak bermula belajar kemahiran tertentu, akhirnya kedua-kedua akan menghadapi cabaran yang sama. Iaitu mendapatkan klien pertama. Tidak ada jaminan contoh anda seorang pakar IT di syarikat multinasional dan ingin mencari duit lebihan dengan melakukan freelancing di luar negara akan mendapat klien pertama secepat mungkin sekelip mata.
Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya bagi mereka yang mula berjinak-jinak dalam dunia freelancing luar negara. Moga anda dikurniakan ketabahan dalam mendapatkan klien pertama.