7 Kemahiran Asas Freelancer

7 Kemahiran Asas Freelancer

Mereka yang berminat ingin menjadi seorang freelancer atau pekerja bebas seharusnya menguasai beberapa kemahiran asas yang sangat penting. Untuk menjadi seorang freelancer sepenuh masa sememangnya anda harus melengkapkan segala ilmu tertentu atau kemahiran asas supaya anda lebih berdaya saing dan meningkatkan lagi kadar-boleh pasaran servis yang bakal anda tawarkan kepada bakal klien anda. Pokok pangkal akhirnya anda juga seperti menjalankan perniagaan sendiri serta segala percaturan bisnes anda harus bertindak seperti seorang usahawan. Anda tidak menjual produk, sebaliknya anda menjual masa anda dan kemahiran anda.

Apakah kemahiran asas yang diperlukan freelancer?

freelancer kemahiran asas

Bila berbicara tentang kemahiran asas, dua komponen yang sangat penting harus diutamakan. Pasti anda pernah mendengar ungkapan “Soft Skills” dan “Hard Skills”. Dua kemahiran tersebut sering dibincangkan di peringkat sekolah menengah, kolej, universiti ataupun seminar berkaitan permohonan kerja. Andai kata anda sudah menghafal atau mengkaji segala isi kandungan ceramah berkaitan kemahiran asas tersebut ketika di sekolah atau kolej, tahniah diucapkan. Sekurang-kurangnya anda sudah selangkah untuk menjadi seorang freelancer yang berjaya.

Kemahiran insaniah

Soft skills bila diterjemahkan terus ke Bahasa Melayu membawa maksud kemahiran lembut. Saya lebih suka menggunakan maksud “Kemahiran Insaniah”. Ianya lebih tepat dan menjurus kepada ciri-ciri manusiawi atau trait personaliti individu. Contoh kemahiran insaniah adalah seperti berikut.

  • Kemahiran berkomunikasi
  • Kemahiran menyelesaikan masalah
  • Kebolehan berunding
  • Mengawal mood

Dan pelbagai lagi yang boleh difikirkan berdasarkan personaliti dan ciri manusiawi. Secara umumnya kemahiran insaniah diperlukan ketika berbincang dengan bakal pelanggan atau klien anda. Ianya merupakan aspek yang sangat penting dalam memastikan perjalanan kerja anda lancar dan mampu menambat hati klien untuk terus mengupah anda melakukan kerja berkaitan.

Kemahiran teknikal

Hard skills pula membawa maksud kemahiran keras dan lebih sesuai dikaitkan dengan kemahiran teknikal. Anda harus mempelajari kemahiran teknikal dan ianya boleh dilatih dan diajar menerusi saluran pendidikan tertentu sehingga anda mampu menguasainya. Kemahiran teknikal yang anda kuasai juga bakal menjadi penentu bidang yang anda pilih sebelum terjun ke dunia freelancing tempatan atau luar negara. Contoh kemahiran teknikal yang boleh dipelajari adalah seperti berikut:

  • Membina laman web
  • Menguasai Bahasa Inggeris atau Bahasa Kedua lain
  • Pengaturcaraan computer
  • Perakaunan

Dan pelbagai lagi kemahiran teknikal yang boleh dikuasai menerusi cabang-cabang dunia pendidikan yang ditawarkan oleh universiti awam atau pun anda hanya boleh belajar sendiri melalui internet.

Oleh itu amatlah penting, tidak kira cabang atau bidang yang ingin ditumpukan oleh freelancer, kedua kemahiran asas iaitu insaniah dan teknikal haruslah digabungkan sekali demi memastikan anda lebih “stand out’ atau menonjol dikalangan freelancer lain dalam memikat hati bakal klien memilih anda. Berikut saya senaraikan kemahiran asas yang diperlukan seorang freelancer.

Senarai Umum Kemahiran Asas Seorang Freelancer

1. Mampu belajar sendiri

pendidikan freelancer

Belajar sendiri atau maksud dalam English seperti “Self-Learning”, “Self-Taught”dan “Self-Educated”. Kemampuan anda untuk belajar sendiri sesuatu bidang adalah amat diperlukan jika anda berhasrat ingin menjadi seorang freelancer. Jikalau anda menjadi pekerja tetap di sektor swasta atau kerajaan, selalunya latihan akan disediakan sehingga anda mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tetapi sebaliknya bagi seorang freelancer, anda harus belajar sendiri dengan berteraskan konsep cuba dan ralat (“Try and Error”).

Zaman internet kini sudah tidak menjadi masalah untuk belajar sendiri. Sumber dari Youtube, TikTok, carian ilmu di Google dan sebagainya mampu menjadi sandaran untuk belajar sendiri bidang tertentu. Bak kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Masih segar dalam ingatan saya hampir 12 tahun dahulu ketika saya mula cuba menceburi bidang freelancing dalam dunia IT. Segalanya saya belajar sendiri dengan membeli e-book, menghadiri seminar, membaca di internet, mengkaji dari videos Youtube dan malahan pernah belajar sendiri dengan orang yang berpengalaman dalam dunia IT. Sebagai seorang yang bergraduan kejuruteraan tiba-tiba ingin berjinak di bidang IT yang tidak pernah langsung saya belajar masa di Universiti semestinya kekok. Apa pun “alah bisa tegal biasa”.

Andai kata anda sudah mempunyai pengetahuan yang sangat jelas dalam bidang tertentu, contoh anda ingin memulakan dunia freelancing dalam bidang pembinaan aplikasi smartphone dan anda sudah mempunyai ijazah dalam bidang berkaitan computer dan pernah belajar di Universiti membuat aplikasi, sudah tentu ianya lebih mudah. Anda hanya perlu gilapkan lagi kemahiran anda sebelum anda persembahkan kemahiran anda kepada bakal klien anda ketika sesi temuduga.

2. Kemahiran berunding dan menjual diri

Saya tidak bermaksud menjual diri seperti melakukan perkara yang tidak senonoh. Analoginya seperti seorang penjual barang elektrik yang ingin menjual produknya kepada pengguna. Oleh itu anda perlu tahu cara menjual bakat atau kemahiran anda kepada bakal klien yang berminat. Kemahiran berunding sangat penting dalam memastikan bakal klien memilih anda dari memilih beratus lagi freelancer yang memohon pekerjaan yang sama.

Perundingan dilakukan sama ada menerusi penulisan atau percakapan. Sepanjang pengalaman saya, ada klien lebih selesa yakinkan mereka hanya melalui penulisan seperti email dan ruangan sembang (tanpa bersemuka). Majoriti klien pula lebih gemar yakinkan mereka dengan sidang video atau bersemuka melalui ruangan sembang (chatroom) atau menerusi talian suara seperti Zoom, Skype, Meet dan sebagainya.

client dan freelancer

Apa jua platform, kata kunci asas dalam setiap perundingan adalah “empati”. Empati atau Empathy (dalam English) membawa maksud anda memahami sudut pandang klien dan meletakkan diri anda seperti dalam situasi klien. Berunding dengan cara anda memberikan cadangan bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kesilapan terbesar yang dilakukan oleh freelancer adalah hanya dengan melambakkan segala pengalaman di atas muka surat resume bersama dengan surat iringan (Cover Letter) dan hanya mengharap klien dapat membaca lalu mengharapkan anda akan dapat kerja tersebut. Saya akan menyentuh perkara ini dengan lebih teliti pada penulisan artikel seterusnya.

3. Pengurusan masa

WFH meme

Musuh terbesar seorang freelancer adalah pengurusan masa. Seperti ungkapan, “Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian”. Oleh kerana freelancer mempunyai masa yang sangat fleksibel dalam menyiapkan tugasan yang diberikan klien, ianya juga kadang menjadi musuh dalam selimut tatkala selalu menangguhkan kerja hingga ke sangat akhir. Jikalau anda hanya ada seorang klien sudah tentunya tidak mengapa untuk berlengah sebentar, tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga orang klien serentak mungkin mengundang banyak masalah apabila kesemua klien meminta untuk menghantar kerja pada tarikh yang sama.

Maka solusinya anda harus peka dengan kekerapan klien anda memberikan kerja dan menyusun masa anda dengan membuat jadual. Anda harus berdisiplin mengikut jadual yang ditetapkan dan berusaha untuk siapkan kerja lebih awal supaya anda tidak mengundang stress yang sangat teruk apabila tidak mampu menghasilkan kerja yang berkualiti untuk klien anda.

4. Kegigihan dan kesabaran

putus asas freelancer

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” adalah ungkapan zaman berzaman tentang sifat kegigihan untuk mendapatkan sesuatu. Begitu juga dengan dunia freelancing melibatkan klien luar negara. Ramai yang tewas di tengah jalan apabila sudah berputus asa setelah gagal mendapat pekerjaan di portal freelancer antarabangsa. Anda harus gigih berusaha sehingga mendapat kejayaan.

Selain itu setelah mendapat pekerjaan, sifat kesabaran juga penting dalam menghadapi karenah klien. Adakalanya klien lambat untuk membuat bayaran dan juga kadangkala klien lambat untuk respon email anda. Anda juga harus gigih dan bersedia mencari klien baru andai kata klien anda hilang entah ke mana tanpa sebarang jawapan terutama bila anda berurusan dengan klien luar negara. Ianya lumrah dalam dunia freelancing kerana anda bukannya menjadi pekerja tetap sebaliknya anda pekerja bebas.

5. Pengurusan kewangan dan perakaunan

Seorang freelancer adalah sama seperti pemilik bisnes. Minda dan cara berfikir juga harus sama seperti seorang usahawan. Oleh itu pengurusan kewangan dan memantau duit aliran tunai dan keluar-masuk sangat penting dalam diri seorang freelancer. Anda diibaratkan sebagai Menteri Kewangan atau ketua jabatan kewangan. Anda harus meneliti dan membuat kira-kira dalam akaun bank anda setiap jumlah wang yang masuk dari aktiviti freelancing.

meme bayar bil

Ke mana duit itu harus pergi? Analisis rangka kerja perakaunan anda sama ada untuk simpanan ASB, takaful, bayaran bil-bil, rumah sewa, kereta dan lain-lain. Anda juga harus mempunyai simpanan kecemasan andai kata sesuatu yang tidak diingini berlaku. Segalanya perlu dibuat  dan dirancang dengan teliti supaya ianya tidak mendatangkan masalah kewangan di kemudian hari.

6. Pengetahuan asas komputer

Anda tidak perlu menjadi pakar pengekodan bahasa komputer atau pakar pengaturcaraan pakar penggodam seperti anda lihat di dalam filem aksi atau sains fiksyen. Setidaknya anda tahu menggunakan laptop atau komputer untuk sebarang urusan asas seperti berikut:

  1. Melayari internet
  2. Menaip dokumen pada Microsoft Word atau Google Docs
  3. Ilmu asas menggunakan Microsoft Excel atau Google Sheet
  4. Edit gambar atau video
  5. Lain-lain ilmu asas menggunakan komputer
kolar putih excel

Apa pun anda tidak perlu hanya berserah dan pasrah dengan kemahiran asas komputer anda. Lagi tinggi pengetahuan anda tentang dunia komputer lagi tinggi banyak peluang dan pilihan tersedia untuk anda dalam pelbagai bidang freelancing luar negara.

7. Pengetahuan asas dunia internet

tiktok meme

Dunia moden kini sudah tidak asing lagi dengan keseronokan dunia maya alam siber. Ada manusia yang tidak boleh hidup tanpa internet. Secara umum bila dikaitkan dengan dunia internet pasti anda terbayang Youtube, Facebook, TikTok, Google dan pelbagai lagi platform menarik. Selain hiburan tanpa had melalui segala saluran tersebut, anda harus tahu tentang dunia pemasaran internet

Dua perkara utama bila berbicara tentang dunia pemasaran internet adalah sosial media dan enjin carian. Ketahui selok belok pemasaran internet menerusi sosial media seperti, Facebook, Instagram, TikTok dan enjin carian melalui Google. Semakin tinggi ilmu anda dalam dua kaedah pemasaran tersebut semakin tinggi kebarangkalian anda untuk mendapat kerja di platform freelancer luar negara. Ini adalah kerana pertama, anda boleh mempromosikan apa jua servis anda di internet dengan berkesan. Kedua permintaan untuk mereka yang ada ilmu dalam bidang pemasaran internet sangat didambakan dalam dunia freelancing.

Kesimpulan

Freelancing tentunya bukan sesuai untuk semua orang. Ianya cabang dunia pekerjaan yang sangat mencabar bagi mereka yang bermula dari kosong dan tiada apa-apa pengalaman. Ianya juga menjadi mudah bagi mereka yang sudah memiliki ilmu dan pakar dalam bidang tertentu. Selain daripada senarai kemahiran asas yang dinyatakan di atas, freelancer yang sudah berpengalaman juga mempunyai kemahiran lain seperti boleh mengawal stress, ada keyakinan tinggi, sanggup belajar benda baru, boleh menyesuaikan diri ketika tiada kerja, sanggup menghadapi kritikan, berfikir dengan pantas dan tersusun, dan mampu membuat keputusan yang tepat.

Akhir kata, tidak kira sama ada kemahiran teknikal atau kemahiran insaniah, keduanya boleh dipupuk dan dibajai sehingga anda mampu menguasainya. Sampai satu ketika ianya sudah menjadi sebahagian dari hidup anda atau tabiat semula jadi seorang freelancer. Semoga perkongsian ini dapat memberikan anda sedikit gambaran sebelum anda membuat keputusan menjadi seorang freelancer. Selamat maju jaya.

Give a Comment