Takrifan freelance merujuk kepada Kamus Dewan (DBP) adalah bermaksud bekerja bebas. Maka terjemahan terus perkataan freelancer (asal dari Bahasa Inggeris) ke Bahasa Melayu adalah pekerja bebas. Apakah bebas yang dimaksudkan? Ia membawa maksud tiada terikat dengan mana-mana entiti, individu atau syarikat. Dengan maksud lain adalah self-employed atau bekerja sendiri.
Selain itu bebas juga membawa maksud, bebas bekerja di mana sahaja, bebas menguruskan masa ikut keperluan sendiri, bebas berpakaian apa sahaja, bebas memilih harga untuk servis atau produk yang ditawarkan dan segalanya bebas mengikut kehendak sendiri. Nampak indah khabar dari rupa. Freelancer juga harus mencari lubuk kerja seiring dengan apa yang ditawarkan. Tiada kerja tiada wang.
Pelbagai persamaan lain definisi freelancer
Apabila seseorang ditanyakan apakah pekerjaan beliau dan beliau menjawab secara umum, “Saya freelance” sudah tentunya terdapat pelbagai maksud boleh digambarkan. Berikut antara seringkali kita fikirkan:
Kontraktor – Mereka yang diberi kerja berdasarkan apa yang dipersetujui oleh syarikat atau klien/individu (contoh selalu dikaitkan dengan sektor pembinaan, atau apa saja servis dipersetujui kedua belah pihak)
Perunding – Mereka yang memberikan khidmat konsultasi atau khidmat nasihat, perancangan, pengurusan yang merangkumi pelbagai sektor seperti perunding kewangan, perunding kecantikan dan lain-lain.
Pekerja gig – Mereka yang terlibat dalam dunia gig ekonomi dan mengaplikasikan diri melalui platform digital. Ianya trendy di kalangan anak muda seperti perkhidmatan seru pandu Grab, Food Panda dan juga pereka atau penulis bebas.
Usahawan – Mereka sentiasa mengambil peluang dan sedia menanggung risiko menjalankan perniagaan apa sahaja produk atau servis. Sebagai contoh melakukan pembelian stok sanitizer dan menjualnya pada musim corona virus. Termasuk juga mereka yang digelar solopreneur. Bergerak bebas berniaga secara solo atau menawarkan servis atau skill yang ada.
Bidang yang wujud dalam dunia freelancer
Memandangkan takrifan freelancer itu sendiri meluas maksudnya dan merangkumi pelbagai sudut pandang masing-masing, maka sesuai dengan tema blog ini, saya hanya ingin mengfokuskan kepada bidang yang di arus perdanakan melalui saluran digital dan teknologi. Ianya bermaksud sebarang bentuk penawaran kerja atau servis dipacukan oleh persekitaran digital sama ada berbentuk jangka pendek atau jangka panjang menerusi aplikasi yang disediakan. Berikut adalah bidang kerja yang sinonim dengan industri freelancing.
- Pemasaran digital
- Pembangunan perisian dan pengaturcaraan
- Pembangunan laman web
- Rekabentuk grafik
- Penulisan, pengeditan, pengoreksi
- Penterjemah
- Komputer dan IT
- Perakaunan dan kewangan
- Penganalisis
- Pengurusan projek
Banyak lagi bidang-bidang yang memberikan pulangan yang setimpal dengan bakat dan kemampuan seperti video editing, fotografi, melakukan proses memasukan data, pengurus sosial media, pendek kata apa sahaja kerja atau servis yang mana kedua pihak klien dan freelancer boleh berhubung dan memberikan khidmat diperlukan melalui saluran aplikasi digital. Analisa diri anda sendiri, sudah tentu anda punyai kemahiran atau bakat tertentu yang anda minat. Tidak semestinya anda harus mempunyai pengetahuan yang hebat dalam dunia computer dan internet baru boleh menceburi dunia freelancing.
Bagaimana mencari kerja sebagai freelancer?
Terdapat pelbagai platform atau saluran untuk freelancer “menjual diri” mereka. Jangan salah faham. Dengan lebih tepat menjual skill atau kebolehan diri mereka di laman web freelance. Boleh kata hampir semua laman web atau platform freelance menawarkan fungsi yang sama. Majikan atau klien boleh menyenaraikan ciri-ciri freelancer yang mereka kehendaki dan freelancer juga boleh membuat akaun atau profil yang menarik para klien menelitinya. Kedua-dua pihak sama ada majikan atau freelancer boleh menghubungi satu sama lain untuk mempersetujui apa saja kerja atau projek yang diingini pada sekian jumlah upah yang juga dipersetujui bersama.
Platform freelance yang kini wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan boleh diklasifikasikan mengikut industri dan bidang tertentu. Ada platform khas untuk penulis bebas sahaja. Ada pula untuk pereka grafik sahaja dan pelbagai lagi spesifik untuk bidang tertentu. Senarai di bawah adalah laman-laman web freelance popular yang bersifat global dan sesiapa saja yang berada di mana sahaja boleh memohon. Ianya menawarkan bidang umum atau segala peluang pekerjaan pelbagai sektor terangkum di satu tempat.
6.Guru.com
10.Hireable.com
Selain itu anda juga boleh mencari peluang di laman web freelance versi tempatan di bawah seliaan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) iaitu eRezeki.my
Kalau anda melakukan carian di Google terdapat juga laman web tempatan lain yang mana secara peribadi saya tidak pernah mencubanya seperti freelancing.my, freelanc3r.com.my, favser.com dan mungkin banyak lagi laman web lain.
Jika anda memiliki kepakaran dalam bidang tertentu mungkin anda boleh terus mencari klien di tempat yang sebetulnya. Contohnya jika anda pereka bentuk grafik yang sangat mahir, maka lebih baik anda “memancing di lautan” yang sebetulnya. Berikut adalah serba sedikit pautan popular yang berkaitan spesifik dengan bidang tertentu (bersifat global)
Penulis bebas – Allindiewriters.com, ProBlogger.com, Contena.co, FreelanceWritingGigs.com, Freelancewriting.com, Mediabistro.com dan banyak lagi
Rekabentuk – 99designs.com, Designhill.com, Behance.net, Dribbble.com, Designcrowd.com, studio.envato.com dan banyak lagi
Pembangunan (IT dan Komputer) – Gigster.com, TopCoder.com, ProgrammerMeetDesigner.com, Rent-acoder.com, Gun.io dan banyak lagi
Pembantu Alam Maya (Virtual Assistant) – BelaySolutions.com, Clickworker.com, FancyHands.com, WorldWide101.com dan banyak lagi.
Ianya terlampau banyak untuk disenaraikan dan saya secara peribadi ingin menobatkan top 3 laman web freelance (setelah mencubanya) untuk segenap bidang dan industri atau pun “all in one” atau best overall adalah UpWork, Fivver, Freelancer dan versi tempatan adalah eRezeki. Bagi mereka yang pernah mencuba laman-laman web seperti di atas boleh berkongsi pengalaman di ruangan komen di bawah.
Kelebihan dan kekurangan sebagai seorang freelancer
Segala pekerjaan yang wujud di atas muka bumi ini pastinya ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tiada siapa yang boleh mendabik dada bahawa dialah insan paling sempurna disebabkan pekerjaannya. Maka anda haruslah sedia maklum cabaran yang bakal dilalui jikalau anda memilih freelancing sebagai salah satu kerjaya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Berikut adalah pros dan cons sebagai freelancer
Pros
Fleksible – Boleh bekerja di mana sahaja asalkan ada laptop atau PC serta kelajuan internet yang bagus. Di rumah, café, tempat beriadah, tepi pantai atau mana saja anda rasa selesa untuk melakukan kerja. Jika anda memilih bekerja dari rumah, tentunya masa anda dengan keluarga tersangat banyak.
Kebebasan masa – Anda tidak terikat dengan masa yang ditetapkan oleh majikan. Anda urus masa anda sendiri berdasarkan projek yang anda pilih. Sama ada bekerja pada waktu siang atau malam adalah pilihan anda sendiri.
Tentukan sendiri kadar upah – Segalanya terpulang pada anda. Seperti kata pepatah “The sky is not the limit”. Anda rajin? Jadikan freelancing kerja utama anda. Sehari kerja 8 jam seperti orang lain. Hendak pendapatan sampingan? Anda boleh bekerja sehari sejam sahaja. Anda hendak letak harga servis mahal, maka carilah klien yang sanggup bayar anda. Sama ada murah atau mahal, setiap segmen sentiasa ada klien yang sanggup membayarnya. Ianya bergantung kepada kemahiran yang anda miliki.
Cons
Tiada jaminan pendapatan tetap – Ini adalah kekurangan paling utama sebagai freelancer. Bolehlah kalau hendak menyamakan seperti pepatah Melayu, “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Sebagai pekerja tetap di sebuah syarikat atau kerajaan sudah pasti setiap bulan anda pasti dapat gaji dan juga segala kemudahan yang disediakan. Freelancer harus bekerja. Tiada kerja tiada duit. Tetapi bagi freelancer yang sudah berpengalaman mampu mempunyai klien tetap dan aliran tunai boleh dikatakan ada selagi rajin bekerja.
Bebanan menguruskan kewangan – Sebagai pekerja tetap di sebuah syarikat atau kerajaan, sudah tentunya pelbagai insentif dan kemudahan disediakan sepanjang hidup anda seperti insurans, pencen, elaun dan sebagainya. Sebaliknya freelancer perlu berusaha mengurus kewangan sendiri untuk simpanan, membayar cukai, insurans, sara hidup malah agak sukar untuk memperolehi pinjaman kewangan dari institut perbankan andai aliran tunai tidak begitu memuaskan sekaligus menyukarkan untuk membeli rumah dan kenderaan.
Klien datang dan pergi – Ini adalah lumrah seseorang freelancer. Seperti orang yang berniaga begitulah juga lah freelancing ada pasang surutnya. Bergantung kepada bidang yang anda ceburi, adakalanya klien sentiasa kekal bersama anda pada tempoh yang sangat lama dan adakala klien anda bersifat sementera berdasarkan projek tertentu dan kemudian mencari anda balik bila perlu. Maka pengurusan kewangan dan menjaga hubungan baik dengan klien adalah sangat penting menjamin kelangsungan anda sebagai freelancer.
Kesimpulan
Adakah dunia freelancing sesuai dengan anda? Segalanya terpulang kepada analisa dan pandangan anda sendiri dalam menilai gaya hidup anda dan apa yang inginkan dalam hidup ini. Walaupun freelancing hampir sama dengan pengertian bisnes (menjual kemahiran diri) tetapi tetap berbeza onak duri yang akan dilalui. Dunia bisnes tentunya ada selok belok tertentu dan pendapatan tiada had yang mana boleh mencecah juta-juta atau billion-billion. Andai kata hajat di hati untuk menjadi seorang jutawan dan billionaire maka freelancing bukanlah bidang yang sesuai dengan anda dan anda harus menyertai dunia bisnes yang sebenarnya.
Yaa sudah tentu ada manusia mampu jadi jutawan dengan freelancing kerana skill yang dimiliki membolehkan klien sanggup bayar dengan harga mahal dan pendapatan terkumpul membawa kepada nilai juta atau 6 angka. Tetapi secara peribadi apabila sebut mengenai jutawan dan billionaire saya lebih suka mengaitkan dengan bisnes daripada freelancing. Lebih tepat istilahnya.
Akhir kata anda sukakan fleksibiliti dan kebebasan mengurus masa sendiri tanpa terikat dengan sesiapa? Maka freelancing mungkin untuk anda. Anda mungkin juga tidak kaya dan jutawan, tetapi anda lebih suka membuat kerja yang anda betul-betul minat dan hidup selesa dengan target pendapatan yang anda ingin demi meneruskan kehidupan di alam fana ini sebelum berangkat ke alam akhirat buat selamanya.