Ungkapan “Indah Khabar Dari Rupa” mungkin boleh disesuaikan dengan industri freelancing. Bayangkan tidak perlu bangun awal pagi untuk ke kerja. Tidak perlu mengadap kesesakan lalu lintas. Tidak perlu terpenjara dengan konsep bekerja waktu 8 pagi – 5 petang. Boleh bekerja ikut kesesuaian masa sendiri. Boleh meletak harga servis atau upah berdasarkan kemahiran yang ada. Pendapatan tiada had selagi mana rajin. Boleh bekerja di mana saja. Tidak perlu pakaian khas. Malahan boleh bekerja sambal melancong. Nampak menarik bukan? Tetapi tidak semudah itu.
Ramai mencuba untuk berkecimpung secara sepenuh masa sebagai freelancer tapi akhirnya tewas. Bayangkan anda perlu mencari aliran wang yang berterusan supaya anda mampu membayar segala sara hidup seperti rumah, kenderaan, kereta, duit kecemasan dan sebagainya. Jika anda seorang pekerja tetap di sektor awam dan swasta tentunya mudah. Hujung bulan sedia menanti pendapatan dan sudah membahagi-bahagikan untuk keperluan tertentu. Tetapi tidak bagi seorang freelancer. Tiada kerja tiada wang.
Oleh itu pelbagai persoalan yang anda harus tanya pada diri sendiri jika anda berimpian untuk menjadi seorang freelancer yang berjaya di dunia dan di akhirat. Tidak perlu terburu-buru untuk terus berhenti kerja kerana anda melihat “mat salleh” melakukan pekerjaan freelancing dan dapat melancong di seluruh dunia. Berikut antara persoalan yang anda harus jawab dan analisa jika suatu hari anda ingin keluar dari kepompong 8 – 5 waktu bekerja.
1. Sanggupkah anda menyerap tekanan dan risiko yang bakal dilalui?
Jika anda bermula dari kosong. Ini adalah cabaran terbesar sekali. Anda tiada nama, tiada reputasi malahan profil akaun di laman web freelancer baru sahaja daftar semalam (sebagai contoh). Pelbagai risiko mula menjengah difikiran anda. Bagaimana nak mencari klien dan dari berjuta yang mendaftar seluruh dunia, mana mungkin anda di Kodiang Kedah mampu menarik perhatian dari klien US. Kemungkinan akhirnya anda tersungkur selepas mencuba 2-3 minggu dan terus menganggap ini semua scam dan kembali berpatah balik ke pekerjaan lama anda.
Anda juga perlu jelas memikirkan kedudukan kewangan anda. Sebagai contoh 3 bulan pertama anda gagal mendapat sebarang klien dan anda dah cuba “jual diri” tapi tiada siapa mahu beli, adakah anda ada sumber kewangan tambahan untuk menampung perbelanjaan? Bolehkah anda mengawal emosi jika kegagalan menghantui anda?
Saya secara peribadi pernah melalui pengalaman yang buruk ketika mula-mula berjinak-jinak dalam industri freelancing. Setelah berkali-kali cuba mendapatkan klien untuk beberapa bulan, akhirnya saya berjaya menambat hati klien dari UK. Gembira bukan main kepalang. Bertungkus lumus membuat kerja berjam-jam selama hampir seminggu akhirnya tidak dibayar langsung! Kesilapan saya bila tiada pengetahuan dalam memastikan duit upah mesti disimpan dahulu oleh laman web freelancer. Apa yang saya sangka, klien luar negara selalunya akan membayar melalui PayPal bermaksud luar dari laman web freelancer. Mungkin ketika itu saya terlalu gembira mendapat klien dan tidak membincangkan secara dengan teliti tentang upah yang akan di bayar di saluran mana. Klien hanya berurusan secara berkala hingga kerja siap dan terus mendiamkan diri. Hampir saya putus asa dan sangat tertekan tidak mahu lagi menjadi freelancer pada ketika itu.
Itulah hakikat risiko yang mungkin anda akan tanggung dan saya mencuba hampir 6 bulan sebelum mendapat klien yang diingini setelah melalui kesilapan demi kesilapan ketika berurusan dengan klien luar negara. Kesilapan saya pada permulaan hanya cuba-cuba hantar kertas cadangan kerja atau proposal yang bersifat copy/paste dari sumber internet. Biasalah manusia, semua nak senang. Di suatu malam yang hening selepas solat hajat saya terfikir mana mungkin menidakkan konsep rezeki. KENA USAHA baru dapat. Tidak datang bergolek begitu saja. Akhirnya saya sedar dan mula melakukan proposal sendiri dan hasil kerja keras mencuba tanpa jemu segala kemungkinan dapat di atasi.
Tiada mustahil jika anda yakin dengan kemahiran anda dan membuat persiapan awal dan juga sudah ada sokongan tambahan dari segi kewangan. Saya bermula dari kosong dan tiada langsung portfolio yang hebat untuk dikagumkan ketika menjual diri di arena freelancing luar negara. Segalanya hanya bergantung kepada kemampuan diri sendiri ketika membentangkan proposal dan ketika ditemubual untuk diterima bekerja dengan klien. Bab ini saya akan sentuh di artikel yang akan datang.
Oleh itu jika anda sanggup menyerap tekanan dan risiko, maka freelancer sesuai untuk anda!
2. Mampukah anda bekerja sendirian?
Jika anda seorang introvert, freelancer adalah cabang kerja terbaik untuk anda. Secara berkala mungkin anda akan bercakap dengan klien anda tentang kerja sahaja, tetapi banyak masa anda akan diluangkan secara bersendirian. Mungkin ada orang yang tidak selesa apabila tidak bercakap dengan sesiapa selama berjam-jam atau berhari-hari dan sudah biasa mempunyai rakan untuk bersembang ketika membuat kerja. Jika anda seronok bekerja secara sendirian, jauh dari hiruk pikuk dan gelagat manusia yang pelbagai, freelancer sesuai untuk anda!
3. Bolehkah anda mengurus masa dengan baik dan fokus tehadap kerja anda?
Netflix! Gaming! Sosial media! Kuat tidur! Ini semua adalah virus-virus jahat yang bakal menjahanamkan kerjaya anda sebagai freelancer jika tidak menguruskan masa dengan baik. Tambahan pula jika anda sudah bekeluarga dan mempunyai anak-anak. Klien anda bukan boleh pantau anda atau ada cctv tertentu jika culas membuat kerja. Segalanya bergantung kepada anda sendiri. Mungkin ada yang inginkan fokus sanggup bekerja di kedai kopi atau tempat sunyi tertentu. Tak siap kerja, tiada wang upah malahan anda akan dapat penilaian buruk oleh klien anda. Akhirnya membawa kesukaran di masa hadapan untuk mencari bakal pelanggan baru untuk servis anda. Jika anda boleh menguruskan masa dengan sebaiknya dan mampu fokus menyiapkan kerja tepat pada masanya, freelancing sesuai untuk anda!
4. Adakah anda seorang yang suka berunding dan berbincang?
Antara kemahiran yang anda harus kuasai adalah “negotiation” iaitu berunding. Tawar menawar harga servis atau upah menjadi lumrah seorang freelancer. Kadar kesanggupan klien untuk membayar anda dengan harga yang sangat mahal bergantung pada sejauh anda mampu berunding dengan bakal klien. Anda perlu berunding secara bijaksana agar segala susah payah anda membuat kerja akhirnya dibayar dengan harga yang berpatutan dengan keringat yang anda keluarkan.
Jikalau anda seorang pekerja tradisional di sektor swasta, selalunya perbincangan mengenai upah atau gaji yang anda bakal dapat sudah berlaku pada ketika sesi temuduga dijalankan. Malahan sesetengah syarikat telah menyatakan tangga gaji anda setiap tahun dan anda sudah boleh agak pendapatan anda sehingga anda bersara. Tetapi tidak pada freelancer. Ianya berubah sepanjang masa malahan upah anda boleh meningkat 100% atau berkurang 100% bergantung pada kemampuan anda berunding dengan bakal klien.
Misal kata bulan ini anda mampu dapat klien dengan upah 1000 saja berdasarkan bajet yang klien ada, bulan depan dengan kerja yang sama anda boleh dapat 5000 dengan mencari klien yang mampu keluar bajet yang besar. Sebagai contoh, anda pereka grafik, anda memasuki lubuk klien seluruh dunia, maka anda memancing di lubuk ini (menghantar proposal) tiba-tiba hanya klien dari negara India saja melekatnya yang mana secara tipikalnya mereka tiada bajet sangat inggi. Anda pun setuju saja untuk buat. Bulan depan anda pancing lagi maka dapat klien dari US yang boleh bayar dengan harga tinggi.
Maka proses perundingan sesuatu yang biasa bagi freelancer. Adakalanya anda perlu berunding untuk menaikkan harga servis setelah klien ingin teruskan khidmat anda untuk beberapa bulan lagi. Dan anda juga perlu berunding dengan sebaiknya jika anda rasa anda tidak gembira bekerja dengan klien anda dan ingin menamatkan perjanjian. Andai kata anda tersilap membuat kerja, anda juga perlu berunding untuk selesaikan secara baik. Pendek kata NEGOTIATION adalah rutin atau makanan harian freelancer. Jika anda sanggup menghadapinya, freelancing sesuai untuk anda!
5. Adakah anda sanggup menghadapi tempoh kesukaran?
Ungkapan “Langit Tidak Selalu Cerah” mungkin boleh disesuaikan dengan situasi yang freelancer bakal hadapi. Ianya boleh diibaratkan sebagai “orang bisnes” juga. Ada masa sangat untung, ada masa menanggung kerugian. Ianya asam garam yang perlu dilalui. Adakalanya klien tidak putus memberikan projek dan hampir setiap bulan anda mempunyai aliran tunai yang cukup memberangsangkan. Tetapi tiba pada suatu keadaan, sehebat pada mana pun kemahiran yang ada pada freelancer, akan ada waktu tiada kerja langsung. Proposal yang anda hantar tidak dapat menarik perhatian langsung mungkin kerana persaingan dari freelancer lain. Kadangkala sementara menunggu maklum balas klien tentang hasil kerja anda dan urusan pembayaran memakan masa berhari-hari. Ini terutamanya melibatkan klien luar negara.
Maka anda harus mencari jalan memanfaatkan masa yang terluang dengan membuat perkara lain. Ianya terpulang kepada anda, mungkin menulis blog personal seperti mana saya lakukan. Atau berniaga kecil-kecilan. Atau melakukan kerja sampingan seperti membawa grab atau perkara lain yang mendatangkan pendapatan. Jika anda boleh merancang dan mengatasi masalah menghadapi tempoh kesukaran, freelancing sesuai untuk anda!
6. Sanggupkah anda keluar dari zon selesa dan mempelajari kemahiran baru?
Tidak dinafikan bidang IT antara bidang menjadi keutamaan untuk dibayar dengan harga yang mahal. Andai kata anda seorang jurutera perisian yang hebat dan memiliki kelulusan yang setara untuk menjadi seorang freelancer dalam bidang IT, tetapi kemungkinan ada 10,000 orang seluruh dunia seperti anda juga yang berminat menjadi freelancer dalam dunia yang sama. Maka bagaimana anda hendak menjerumuskan diri anda ke dalam kancah persaingan global jika anda tidak memiliki ilmu yang sebetulnya dalam memikat hati klien luar negara. Bagaimana pula mereka yang tiada langsung kelayakan dalam dunia IT tapi berminat untuk menjadi freelancer? Boleh melihat ke pautan ini untuk membaca artikel berkaitan.
Selain itu anda juga harus mempelajari konsep asas bisnes. Walaupun anda seorang freelancer, anda harus menganalogikan diri anda sebagai seorang yang melakukan bisnes menjual masa dan kemahiran anda. Anda perlu analisa aliran wang tunai dan juga pelaburan masa yang anda buat untuk siapkan kerja klien anda. Adakah ianya berbaloi? Adakah anda mampu menyara kehidupan dan membuat pusingan modal sebelum mendapat klien baru? Adakah anda memerlukan pembantu? Yang mana terpaksa pula keluarkan duit untuk diberi upah. Adakah anda boleh analisa akaun wang keluar masuk bersesuaian dengan upah servis yang anda tawarkan? Mindset anda juga harus seperti pemilik bisnes.
7. Adakah anda sukakan cabaran dan yakin dengan diri anda?
Salah satu dilemma yang bakal dilalui seorang freelancer adalah membentuk keyakinan diri tatkala menjerumuskan diri “memancing” di lubuk klien yang bersifat global. Jika profil freelancer anda sudah mempunyai rating yang tinggi serta mempunyai balas yang baik dari klien yang lepas, mungkin sedikit mudah untuk memikat hati sang klien apabila menghantar proposal. Bagaimana pula jika anda baru bermula di arena ini? Hendak meletak harga upah mahal, nanti tiada siapa yang berminat kerana anda baru bermula, letak harga murah mula boleh membawa persepsi murah itu tidak bagus. Anda juga rugi nanti dari segi pengorbanan masa yang tidak setimpal dengan upah. Letak harga sederhana persaingan terlalu ramai pula.
Selain itu anda harus mempunyai sifat keyakinan diri apabila ditemubual oleh bakal klien, sama ada secara verbal/video atau berbalas mesej. Perlu diingatkan klien juga mempunyai calon-calon lain untuk ditemuduga, cabaran anda untuk menyakinkan klien bahawa anda boleh buat kerja. Ketika panggilan video jika anda tergagap menjawab segala persoalan mungkin sukar untuk klien memberikan anda peluang. Begitu juga berbalas mesej atau chat dengan klien anda. Lain ditanya lain dijawab. Jika anda percaya pada diri sendiri dan sangat yakin dengan kemampuan diri anda dan anda berhak dapat jumlah upah setara dengan kemahiran anda, maka tiada masalah untuk menceburi bidang freelancing.
Kesimpulan
Apa sahaja pekerjaan pasti ada cabarannya yang tersendiri termasuklah dunia freelancing. Andai kata anda membuat analisa yang mendalam tentang persoalan di atas sudah tentu ada yang memikirkan ianya sukar dilaksanakan memandagkan lumrah dunia kini memandang pekerjaan tetap di sektor swasta dan awam lagi selesa dan tidak perlu pening memikirkan tentang pendapatan. Hujung bulan sudah ada gaji. Tidak perlu pening-pening. Hanya terima arahan kerja dari orang atas. Tetapi pendapatan sebagai makan gaji tidak boleh naik secara sesuka hati dan terhad pada jumlah tertentu berbanding freelancing yang tiada had pendapatan.
Pro dan kontra sentiasa ada. Kalau semua hendak kerja di sektor awam dan swasta sebagai pekerja kebiasaan makan gaji maka harus ditutup semua perniagaan dan segala jenis servis yang ada. Freelancing adalah suatu pilihan yang sedikit terkeluar dari norma pekerja tradisional 8-5 petang. Malahan industri freelancing kini mengjangkui seluruh dunia. Anda boleh bekerja dengan klien di Canada sedangkan anda di Telok Panglima Garang. Malahan sudah ramai freelancer menjangkaui pendapatan 5 angka atau 6 angka sebulan dari aktiviti freelancing terutama apabila upah dibayar dalam nilai USD. Dengan industri freelancing juga ramai yang mengamalkan konsep digital nomad iaitu travel sambil bekerja. Nampak menarik membuat kerja di tepi pantai sambil menghirup teh ais lemon. Tetapi tidak semudah itu seperti yang telah diterangkan pada penulisan panjang ini.
Akhir kata, nilai potensi diri dan muhasabah serta berdoa kepada Tuhan semoga anda diberikan petunjuk jika anda berhasrat untuk menjerumuskan diri dalam industri freelancing. Ia mungkin sesuai dengan anda. Yang pasti konsep rezeki sentiasa ada bagi mereka yang berusaha. Semoga artikel ini memberikan manfaat kepada anda.