Freelancing atau bekerja sendiri merupakan satu kerjaya yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia pada ketika ini. Pekerjaan yang nampak mudah dengan gaya hidup menarik . Di alam maya kita sering disajikan dengan Pengembara Digital yang mengembara seluruh dunia dengan hanya berbekalkan perkakasan elektronik canggih namun pekerjaan ini bukanlah seindah yang digambarkan kerana cabaran dan risiko yang perlu mereka hadapi sendiri tanpa dilindungi oleh mana mana pihak. Berikut merupakan kelebihan dan cabaran yang anda perlu ketahui jika anda sedang menimbang untuk menjadikan Freelancing sebagai kerjaya.
7 Kelebihan dan Cabaran Freelancer
1. Pendapatan tidak terhad selagi ada kemampuan
Pertama adalah pendapatan tidak terhad atau gaji yang lumayan. Freelancing merupakan satu kerjaya yang mampu memberikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding kerjaya biasa. Ini adalah kerana peluang yang terbuka luas datang dari seluruh dunia tanpa sekatan. Dengan kerja keras, anda mungkin mampu memperolehi minimum 4 angka (atau lebih) pendapatan dengan hanya berada di hadapan komputer.
Cabaran – Aliran tunai tidak konsisten
Namun, anda juga perlu bersedia untuk tidak mempunyai pendapatan tetap. Salah satu sebab adalah kerana projek/prospek anda adalah tidak tetap sepanjang bulan. Melainkan anda mempunyai klien tetap atau kumpulan freelancer yang dapat membantu anda pada sesuatu masa.
2. Keanjalan Masa Kerja
Kedua adalah keanjalan masa kerja. Anda tetapkan sendiri masa untuk bekerja, bercuti, berehat, atau melakukan hobi kegemaran. Anda tidak lagi perlu menghadap majikan atau orang atasan untuk memohon cuti tahunan yang terhad. Anda boleh memilih untuk mula kerja pada jam 1 petang dan berhenti pada jam 9 malam atau bermula jam 6 pagi dan berhenti pada 10 pagi. Anda tidak perlu lagi memberikan alasan kepada bos anda jika anda terlewat ke tempat kerja. Anda juga bebas merancang cuti untuk bersama keluarga.
Cabaran – Masa bekerja tidak menentu
Namun, memilih Freelancing juga bermakna anda memilih untuk bekerja sendiri. Ini bermakna anda mungkin perlu bekerja lewat malam jika perlu kerana perlu mematuhi tarikh akhir projek pelanggan. Anda juga masih perlu menyelesaikan urusan kerja seperti kemas-kini invois dan perbelanjaan pengurusan, berhubung dengan klien pada zon masa yang berbeza dan pelbagai lagi urusan lain. Terdapat juga kemungkinan anda akan mempunyai lebih daripada 2 klien yang menuntut perhatian anda untuk hasil kerja yang terbaik. Ini bermakna, walaupun anda punyai keanjalan masa optimum, anda masih perlu menguruskan masa dengan bijak agar hal peribadi dan urusan kerja dapat diseimbangkan sebaik mungkin.
3. Kebebasan Idea Dalam Bekerja
Yang ketiga adalah hak anda tidak lagi tertakluk di bawah arahan oleh Ketua Jabatan, Boss dan Syarikat. Anda bebas bekerja tanpa perlu risau diherdik, direndahkan kemampuan, longgokan kerja yang tidak perlu dan lain-lain hal yang boleh memberikan impak negatif kepada diri anda yang hingga akhirnya menjadikan anda terasa hilang nilai estetika pada diri. Tidak dinafikan, bukanlah semua ketua mempunyai nilai sebegini, namun anda agak bertuah jika mendapat ketua yang memahami dan menghargai idea kreatif pekerja mereka kerana kualiti positif sebegini sememangnya amat jarang dimiliki. Kerjasama antara anda dan klien biasanya bersifat toleransi maka segala idea anda akan dibincangkan, dan anda akan lebih dihargai jika kualiti kerja anda bagus.
Cabaran – Menepati masa
Namun, anda masih perlu menimbangkan kehendak pelanggan anda. Ada beberapa isu seperti menepati masa tarikh akhir dengan kualiti kerja yang baik, menerima kritikan membina mengenai idea anda dan melakukan rujukan-rujukan tertentu seperti yang diperlukan klien anda. Walaubagaimanapun, jangan terkeliru dengan posisi seorang klien dan boss. Jika anda mendapati mereka memanipulasi atau tidak menghargai kualiti kerja anda yang bagus, anda boleh memutuskan hubungan kerja dengan mereka dan mencari klien yang baru.
4. Jaminan Kerjaya Masa Hadapan
Keempat adalah jaminan kerjaya masa hadapan. Situasi pandemik pada masa kini membuatkan lebih banyak syarikat dan laman web yang bergantung kepada perkhidmatan pekerja dalam talian dengan peruntukan kos upah pekerja yang lebih murah daripada segenap pelusuk dunia. Hal sebegini memungkinkan pada masa hadapan pelbagai lagi posisi dan peluang kerja yang akan diperkenalkan kepada para Freelancer.
Cabaran – Kesunyian tanpa rakan sekerja
Namun, anda akan melakukannya sendirian di rumah. Anda tidak akan ada rakan sekerja yang akan membantu ketika anda buntu dan kehilangan idea. Anda tidak akan mempunyai kawan sekerja untuk keluar lepak ketika anda tertekan. Walaubagaimanapun, jika anda seorang introvert, hal ini adalah suatu kelebihan juga kerana personaliti anda yang terbina sebagai seorang anti-sosial. Seorang extrovert pasti akan menghadapi sedikit masalah permulaan kerana keperluan kepada komunikasi dan hubungan sosial merupakan sifat mereka. Namun, kita baru sahaja melepasi tempoh-tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada musim pandemik ini, jadi sedikit sebanyak kita telah melatih diri untuk berada pada posisi kerja begini (tanpa rakan sekerja).
5. Lebih Masa Untuk Bersama Insan Tersayang
Kelima adalah lebih banyak masa bersama keluarga. Semestinya suatu kelebihan besar bagi yang sudah memiliki keluarga sendiri apabila dapat bersama keluarga dengan masa yang optimum. Peluang untuk bersama anak-anak ketika mereka membesar adalah suatu yang sangat baik untuk perkembangan kehidupan mereka. Selain itu, anda juga dapat meluangkan masa yang optimum bersama isteri/suami tanpa ada halangan/kekangan jarak. Jika anda memilih pekerjaan tetap/ makan gaji, anda tidak dapat memilih lokasi kerja. Sesetengah orang memiliki jarak tempat kerja dan kediaman yang agak jauh hingga memerlukan satu hingga dua jam di atas jalan raya. Mereka perlu keluar seawal pagi dan pulang selewat malam hingga masa bersama anak dan isteri terpaksa diabaikan.
Cabaran – Memenuhi kehendak keluarga
Namun, anda mungkin berhadapan dengan situasi di mana orang terdekat gagal memahami sudut kerjaya Freelancing. Mereka mungkin melihat anda penat namun gagal memahami kerjaya ini memerlukan kemahiran bekerja dalam sesuatu bidang dan fokus sepanjang hari. Apa pun ianya masalah sekecil dan tidak akan mematahkan semangat anda dalam kerjaya ini. Anda perlu sedar masa yang telah anda curahkan adalah sepadan dengan ganjaran yang anda dapat.
6. Lebih Produktif dalam Pekerjaan
Sebagai seorang yang bekerja sendiri, bekerja dari rumah dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja. Ini adalah kerana, dengan bekerja sendirian anda dapat mengelak dari terlibat dengan politik di pejabat dan anda dapat menyiapkan kerja pada kadar masa yang anda sendiri tetapkan. Selain itu, projek dan tugasan yang anda lakukan juga adalah pilihan sendiri tanpa paksaan. Ketika anda kebuntuan idea, anda juga boleh memilih untuk bersama dengan haiwan peliharaan, keluar bersiar atau bermain video game. Semua ini adalah sesuatu yang jarang mampu anda miliki jika anda memilih untuk bekerja dengan majikan.
Cabaran – Gangguan sampingan
Cabaran kerja di rumah tetap wujud. Bagi yang berkeluarga, anda mungkin terpaksa perlu berhenti seketika untuk menjalankan tanggungjawab menguruskan anak-anak. Anda mungkin juga akan menerima kunjungan ahli keluarga dan sahabat. Malah, kelekaan ketika bersama haiwan peliharaan dan permainan video juga akan menjadikan masa yang sepatutnya anda luangkan untuk menyiapkan projek terbuang tanpa anda sedari. Jika anda ingin berjaya dan serius untuk menjadi Freelancer yang berjaya, persiapkan masa dan ruang untuk peribadi dan kerjaya.
7. Permulaan Untuk Memiliki Perniagaan Atas Talian
Dengan kerjaya anda sebagai seorang yang bekerja secara bebas, anda sebenarnya telah membuka langkah awal untuk memiliki perniagaan sendiri(jika anda mahu). Ini kerana, melalui kenalan-kenalan dan pelanggan atas talian, anda telah membuka ruang untuk dikenali kerana daya kreatif anda atau hasil kerja yang bagus. Perniagaan atas talian sentiasa memiliki pelanggan yang mungkin memerlukan bakat dan pengalaman anda pada setiap masa. Peluang tanpa had tersedia untuk anda.
Cabaran – Sanggup menghadapi risiko
Namun, memiliki perniagaan pasti menuntut lebih tanggungjawab. Anda mungkin akan mendapat pelanggan dengan ganjaran yang lebih besar dan cabaran kerja yang lebih susah. Anda juga akan perlu menguruskan sekumpulan pekerja yang memerlukan anda mahir mengenai cukai, pendapatan, hak-hak pekerja, pengurusan perniagaan dan hal-hal lain yang memerlukan anda keluar dari zon selesa. Anda juga perlu berhadapan dengan risiko-risiko perniagaan seperti risiko kredit pelanggan, perubahan undang-undang, penipuan dan lain-lain.
Kesimpulan – Keputusan dan Kebahagiaan Anda
Jadi, setelah anda menimbal balik perkara penting dalam penulisan di atas, adakah anda telah bersedia untuk bekerja sendiri? Adakah anda bersedia menghadapi cabaran-cabaran? Adakah anda bersedia menerima ganjaran lumayan? Tidak kira apa sahaja ruang kerja anda, bekerja sendiri atau makan gaji yang penting adalah kepuasan pekerjaan anda. Kebahagiaan itu anda yang rasa.