Memohon pekerjaan dalam dunia offline (realiti) tentunya sangat berbeza dengan dunia online (maya). Misalnya anda ingin memohon jawatan eksekutif di syarikat multinasional atau sektor korporat pekerjaan sebenar. Selain SOP seperti biasa iaitu menghantar surat iringan (cover letter) dan CV (atau resume), anda harus menjaga penampilan seandainya dipanggil untuk proses temuduga. Tentunya perlu kelihatan cantik bagi wanita dan kacak bertali leher bagi lelaki. Pelbagai proses seperti melihat kelakuan anda ketika ditemuduga dan kemudianya mungkin anda harus melalui pelbagai ujian personaliti atau pun teknikal secara bersemuka. Sebalik dunia freelancing tidak begitu.
Proses mendapatkan kerja atau klien di alam dunia online atau freelancing hanya perlu menulis proposal atau cadangan kerja dengan baik dan seandainya diterima terus dijemput ke sesi temuduga. Dan ketika temuduga, ada klien lebih selesa tidak bercakap atau melakukan sidang video. Hanya perlu berkomunikasi menerusi penulisan di ruangan berbual (chat room). Tetapi bagi manusia introvert jangan terlalu seronok, tetap ada klien ingin melakukan sidang video atau hanya bercakap menerusi Zoom atau Skype. Ianya terpulang kepada sesuatu bidang yang dipohon. Apapun ketika sesi temubual di sidang video selalunya bersifat santai sahaja. Tidak perlu memakai tali leher atau berhias secantiknya.
Oleh itu dalam persaingan mendapatkan kerja dalam dunia freelancing dalam atau luar negara anda harus mempersiapkan senjata sebelum terjun dalam pertarungan sebenar memenangi hati klien. Senjata yang anda harus gilap adalah menulis cadangan (proposal) kerja dengan sebaiknya. Seandainya anda sudah memiliki senjata yang bagus maka pertarungan yang akan berlaku adalah anda akan dijemput untuk sesi temuduga bersama klien di mana anda harus bersilat menjawab segala soalan yang ditanya. Maka sebelum terjun ke dalam pertarungan sebenar, ada beberapa perkara anda harus ketahui dalam menggilap proposal agar tampak lebih berkeyakinan.
7 Perkara Perlu Dilakukan Oleh Freelancer Sebelum Menghantar Proposal Kepada Klien
1. Menyemak dan teliti latar belakang klien
Scammer atau penipu ada di mana-mana sahaja. Termasuklah dalam dunia realiti di mana anda mungkin pernah menerima panggilan dari penipu yang mengaku jadi pegawai LHDN, pegawai Polis dan kemudiannya mengertak anda dengan ugutan pelbagai dan akhirnya menjerat anda ke dalam masalah penipuan duit. Begitu juga dengan platform freelancing yang tak terlepas dari kewujudan scammer. Tidak kira anda memilih platform mana, anda harus semak latar belakang klien yang anda pohon untuk bekerja. Berikut saya lampirkan gambar di bawah bagaimana untuk melihat kesahihan klien di platform Upwork.
- Anda perlu tengok sama ada kaedah pembayaran telah mempunyai tanda hijau yang bermaksud telah diverifikasi oleh Upwork.
- Kemudian anda harus tengok penarafan bintang yang diberikan kepada klien ini oleh freelancer yang pernah bekerja dengannya.
- Juga harus melihat kadar pengambilan freelancer bekerja
- Dan nilai upah yang telah diberi kepada freelancer atau wang yang telah dibelanja dalam platform untuk mengupah freelancer.
Akhir sekali yang tidak kurang pentingnya adalah tarikh mula klien mendaftar di platform ini. Nilai penarafan bintang hampir kepada 5, kadar pengambilan freelancer melebihi 50%, jumlah yang telah dibelanja agak tinggi. Maka setelah dinilai secara keseluruhan, klien ini sah untuk berurusan dan yakin untuk memcuba menghantar proposal kerja.
Penilaian yang hampir serupa juga boleh dinilai pada platform freelancing yang lain. Mungkin berbeza hanya pada penanda aras yang telah ditetapkan oleh penyedia laman web freelancing. Lihat contoh pada platform Freelancer.com
Anda boleh lihat pada ruangan Client Verification. Penanda verifikasi yang menandakan klien ini sah atau yakin untuk berurusan. Di samping itu jumlah review yang agak bagus oleh freelancer yang pernah bekerja di bawah klien ini dan klien ini telah mendaftar sejak tahun 2008.
Lihat pula contoh di platform PeoplePerHour.
Antara muka yang agak berbeza untuk menilai kesahihan klien. Tapi anda boleh nilai dengan melihat angka-angka penanda aras yang menunjukkan ianya sahih untuk berurusan. Dengan rating yang tinggi dan jumlah freelancer yang pernah bekerja di bawahnya dan pelbagai lagi.
Seterusnya pada platform Guru.com
Walaupun antara muka (interface) yang berbeza, tetapi anda pasti dapat mencari penanda aras tertentu yang membolehkan ianya sahih untuk berurusan. Maklum balas yang bagus, jumlah upah yang telah dibelanjakan dan kadar bayaran yang tinggi membayangkan klien ini layak untuk anda cuba memohon kerja.
Pendek kata tidak kira apa sahaja platform freelancing untuk pencari kerja online yang anda pilih untuk cuba, pihak penyedia laman web mesti menyediakan penanda aras tertentu untuk memberikan keyakinan kepada freelancer membuat pilihan menghantar proposal kerja. Jika anda dapati sesuatu platform tidak mempamerkan sebarang tanda verifikasi tertentu, maka lebih baik anda tinggalkan sahaja platform tersebut.
Sekadar info tambahan berkenaan Upwork, jika anda melihat profil klien seperti di bawah,
Maka segera tinggalkan dan cari klien yang lain. Ianya lebih selamat. Disebabkan tiada langsung tanda verifikasi pembayaran dan tarikh mendaftar masih baru. Setidaknya atau pun paling kurang mesti ada tanda verifikasi untuk pembayaran seperti di bawah.
Kalau anda lihat tarikh daftar di Upwork masih baru, tetapi proses pembayaran telah diverifikasi, maka boleh dikatakan selamat sedikit untuk berurusan dan cuba menghantar proposal walaupun masih tidak ada sebarang review atau penanda aras yang bagus.
Secara jujurnya saya hanya kerap berurusan dengan platform Upwork sahaja dan melalui pengalaman yang saya telah lalui, ianya sah dan selamat untuk berurusan. Sebagai sebuah syarikat yang tersenarai dalam top 100 syarikat berpengaruh dalam majalah TIME dan tersenarai dalam NASDAQ, sedikit sebanyak memberikan keyakinan untuk berurusan. Pun begitu platform lain juga boleh anda cuba untuk memohon berdasarkan kriteria yang telah saya terangkan. Pernah anda mendengar pepatah English, “don’t put all your eggs in one basket”? Mungkin di platform Upwork anda masih belum mendapat kerja, tetapi anda mendapat klien di platform Freelancer.com.
2. Baca dengan teliti tawaran kerja
Setelah anda menyemak latar belakang klien, perkara kedua terpenting adalah melihat keterangan kerja yang telah dinyatakan bakal klien. Anda harus baca dengan teliti dan mencatat segala keperluan dan skop yang dikehendaki klien. Sebagai contoh tawaran kerja mereka bentuk laman web di bawah.
Apabila anda membaca dengan teliti, terdapat perkara penting untuk anda ingat sebelum menulis proposal kepada klien. Pastikan anda catat kesemua kehendak klien dan buat analisis terlebih dahulu.
Adakah anda mampu selesaikan masalah klien berdasarkan kehendak yang telah dinyatakan?
Adakah anda mempunyai contoh yang pernah anda buat untuk dipersembahkan kepada klien berdasarkan keterangan kerja terbabit?
Jika terdapat banyak keraguan yang tidak mampu tunaikan maka boleh abaikan dan terus memburu klien yang seterusnya. Selain itu anda juga boleh melihat petanda atau keterangan kerja yang lain. Seperti contoh di bawah (platform PeoplePerHour).
Sama seperti Upwork, platform PeoplePerHour juga menyatakan bila tarikh klien menyiarkan iklan kerja di platform mereka dan juga berapakah bilangan proposal yang telah dihantar. Di sini anda boleh buat analisa jika tarikh siaran sudah terlalu lama dan bilangan proposal yang agak tinggi, maka anda boleh abaikan disebabkan persaingan yang agak tinggi. Dinyatakan seperti gambar di atas juga, tarikh akhir menghantar kerja. Jika anda tidak dapat memenuhi kehendak klien maka boleh abaikan.
Setelah anda mengumpul data berkaitan dan isi penting kehendak klien, maka proses yang seterusnya adalah menulis proposal atau cadangan kerja kepada klien.
3. Merangka penulisan proposal dengan betul
Sedikit tips telah saya terangkan mengenai penulisan proposal pada artikel yang lepas. Kandungan proposal anda harus bernada seperti berunding. Sentiasa berfikir seperti anda di dalam situasi klien ataupun empati. Menyelami perasaan klien dan mencari jalan menyelesaikan masalah. Berikut adalah 4 perkara penting apabila menulis proposal.
- Tunjukkan anda memang mempunyai pengetahuan dalam menyelesaikan masalah klien
- Tunjukkan cadangan terbaik dan bagaimana anda menyelesaikan masalah klien
- Tunjukkan contoh hasil kerja anda atau masalah sama yang telah anda selesaikan
- Tunjukkan sisi pandang sebagai seorang manusia yang ingin menolong dengan terus ajak berbincang lanjut menerusi chat room atau Zoom dan sebagainya
Sebagai contoh umum lihat video yang telah saya sediakan di Facebook saya. Serta video ini dan juga ini. (Kena add saya sebagai friend dulu untuk tengok)
Apa yang saya nyatakan dalam video di atas adalah sebagai panduan umum sahaja. Kata kuncinya adalah empati dan terus memberikan penyelesaian atau cadangan terbaik kepada masalah yang dihadapi oleh klien. Saya sedia maklum setiap bidang kerja kemungkinan cara pendekatan berbeza. Hakikatnya konsep asas dalam mendapatkan kerja dalam dunia freelancing adalah sama. Klien yang mencari freelancer sememangnya ingin seseorang yang dapat menyelesaikan masalah mereka.
Ianya dunia yang berbeza dengan sektor pekerjaan dunia realiti dan cara “approach” juga berbeza. Klien tidak kisah jika anda mempunyai PHD sekalipun, yang penting masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan dengan kaedah yang diingini. Dan kaedah menulis proposal adalah bersifat santai dan tidak perlu mencerminkan penulisan rasmi seperti memohon di syarikat multinasional. Sebelum saya tunjukkan template atau contoh format penulisan yang pernah saya guna, anda harus mencari nama klien terlebih dahulu. Penting untuk anda menyapa klien dengan nama sebenar klien.
Untuk mencari nama klien selalunya memang ada di ruangan profil klien (telah saya tunjukkan dalam video). Dan dibawah contoh di mana anda boleh mencari nama klien.
Daripada maklum balas freelancer selalunya anda akan dapat tahu nama klien. Daripada contoh di atas nama klien adalah Charlie. Maka saya tunjukkan format intro menulis surat proposal di bawah:
Hi [nama klien],
I see you are looking for [nyatakan kerja yang ditawarkan] Furthermore, the task you mentioned on the job posting is something that I have done before [nyatakan pengalaman]
Contoh intro (ayat pengenalan)
Hi Charlie ,
I see you are looking for an experienced general VA to help you with your online business. I think I might be a good fit for this VA position along with my previous experience especially more than 2 years working online, I can very sure help you a lot to improve your business.
From the job description I can see that you are looking for someone that can perform some tasks.. [terus kaitkan dengan pengalaman yang sama atau berikan contoh kerja yang sama]
**[tengok contoh video]
Pendek kata, penulisan proposal mesti berkaitan dengan skop kerja klien sahaja. Klien sangat teruja bila ada freelancer ambil berat tentang skop kerja mereka dan melihat cadangan terbaik untuk menyelesaikan masalah.
KESILAPAN TERBESAR freelancer adalah hanya copy paste resume, copy paste CV, copy paste pengalaman orang lain (malas nak hands on tulis sendiri), ataupun copy paste dari internet proposal yang sama tanpa menitik beratkan aspek empati pada klien. Cuba anda letak diri anda dalam posisi klien bila membaca proposal freelancer yang hanya copy-paste segalanya, tentu dibakul-sampahkan.
Oleh itu selalu ingat di fikiran anda 3 bahagian penting mengikut turutan sebelum anda merangka penulisan proposal yang menarik perhatian klien,
- Pengenalan
- Berikan contoh hasil kerja yang sama. Andai langsung tiada pengalaman dan tiada contoh hasil kerja. Boleh difikirkan untuk menulis pengalaman yang hampir sama atau relevan dengan kerja yang klien tawarkan dan beri cadangan berguna berkaitan kerja klien.
- Seruan bertindak (Call to action) dengan terus mengajak berbincang lanjut menerusi chatroom, panggilan suara/video dan sebagainya.
Contoh penuh:
Hi Charlie,
I see you are looking for an experienced virtual assistant to help you handling your social media account and online business. For the past 2 years I’ve been handling my own personal social media account to promote my own business. I’ve been selling cookies and doing drop-shipping clothes via IG, Facebook and TikTok.
Check out my profile here:
IG: [put your link]
FB: [_]
TikTok: [_]
My day-to-day tasks include gathering content ideas, searching for memes and video/image editing. I used Canva to help with the design aspect of the social media posting. You can check my latest design of IG promo material in the file attachment below.
All in all, I can assist you with content creation, scheduling the posts, growing audiences, and overall strategy. My latest achievement would be a month ago, you can see that all my TikTok videos almost gather 1000 views.
Let’s discuss more detail about the scope of your tasks. Can you tell me your social media account so that maybe I can give some helpful suggestion?
Anyway, I look forward to hearing from you. You can have a chat or talk with me via Upwork chatroom. I have webcam and mic working for any interview session. Please let me know a time that works best for you, and I will make sure that I make myself available.
Best Regards,
[your name]
**sekadar spontan saya menulis proposal di atas, mungkin anda lebih baik menulis dan lebih fasih English dari saya. Apa yang ingin saya paparkan konsep asas dan format menulis proposal yang sebetulnya. Tentu anda pelik kenapa bersifat santai dan tak formal seperti memohon kerja di syarikat multinasional atau kerajaan. Jawapannya inilah rencah dunia freelancing. Ianya tak sama macam realiti pekerjaan sebenar di luar sana.
4. Menjawab atau bertanya soalan yang diperlukan
Suatu perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah menjawab soalan tambahan dari klien. Selain proposal, adakalanya klien akan bertanya soalan tambahan. Sebagai contoh di platform Upwork, terdapat ruangan soalan tambahan yang disediakan oleh klien sebelum menghantar proposal.
Maka pastikan anda tidak terlepas pandang dan harus menjawab soalan tambahan dengan teliti. Lagi panjang lebar jawapan lagi baik. Cuma tidak harus melalut. Contoh lain di platform Guru.com anda juga boleh bertanya soalan kepada klien sekiranya ada kemusykilan tertentu.
Semakin banyak anda ambil berat dan ingin tahu sedalamnya tentang kerja yang klien tawarkan, semakin tinggi peluang anda untuk mendapatkan kerja tersebut. Minat yang mendalam boleh mencetus keterujaan klien untuk menjemput anda ke sesi temuduga dan seterusnya mungkin mendapat kerja yang anda inginkan.
5. Mengenakan upah yang sepadan
Perkara ini mungkin menjadi dilemma seorang freelancer. Terutamanya bagi mereka yang baru bermula. Andai kata anda mencadangkan upah yang tinggi, kemungkinan klien akan mencari freelancer yang meletakkan upah yang murah. Sebaliknya jika anda meletakkan upah yang murah kemungkinan anda akan menanggung akibatnya kerana membuat kerja yang tidak setimpal dengan upah. Seperti pepatah melayu, “diluah mati emak, ditelan mati bapak”. Maka berapakah jumlah yang sepadan yang ingin anda cadangkan kepada klien?
Sejujurnya tiada jumlah yang tetap yang boleh ditawarkan kepada bakal kilen. Ianya sangat bergantung kepada pelbagai faktor dan juga bidang kerja anda. Contoh mereka yang sudah mempunyai pengalaman dalam pembangunan laman web selama 10 tahun tentunya kadar berbeza bagi mereka yang baru berjinak-jinak. Kadar upah akauntan tentunya berbeza dengan kadar upah pembantu am media sosial.
Oleh itu bergantung kepada skop dan bidang kerja yang anda mohon, anda boleh selidik sendiri dan lakukan carian di Google atau portal pekerjaan untuk mengetahui gaji asas tertentu dalam bidang tertentu. Jikalau anda masih buntu, anda boleh kira keperluan kehidupan anda untuk sara diri. Andai kata 3000 ribu ringgit sebulan cukup untuk sara hidup anda. Maka tukarkan dalam bentuk jam. Katakan sehari 5 jam bekerja. Sejam RM20. Sebulan RM3000. Maka upah anda bila ditukarkan dalam USD adalah $5 / hour. So anda harus yakin dengan kadar upah yang anda tetapkan. Mungkin boleh tawar menawar kepada $4.5 per jam jika anda baru sahaja bermula. Kadar upah anda yang tentukan.
Klien ada bajet yang tersendiri. Andai kata terkeluar dari sasaran klien dengan kadar upah begitu, maka boleh abaikan. Peluang lain masih banyak. Apa yang penting dalam diri anda mesti tetapkan jumlah minimum untuk anda. Kalau anda masih baru dan tiada pengalaman langsung dan ingin mencari klien pertama sebagai benchmark atau penanda aras profil anda, rendahkan lagi mungkin kepada RM2000 sebulan. Bila ditukarkan kepada jam $3 / per jam (atau RM 12 / jam). TETAPI, jangan sampai jatuhkan standard anda sampai anda nak makan untuk hari-hari pun tak lepas, nak bayar bil utiliti lagi.
Bak kata orang putih, “the sky is the limit”. Dunia freelancing adalah fleksibel dan bebas. Begitu juga kadar upah. Anda bebas menentukan kadar upah yang anda inginkan. Hendak sehari RM100 atau seminggu RM1000 atau sebulan RM5000 ataupun lebih dari itu. Bergantung kepada anda dan industri yang anda ceburi. Tambahan pula jika anda berkecimpung dalam dunia freelancing luar negara. 5usd per jam adalah jumlah yang tersangatlah kecil bagi mereka (di US atau UK atau Europe), tetapi kalau anda tukarkan dalam bentuk jam dalam ringgit Malaysia. Sehari kerja 5 jam sahaja sudah memperolehi RM3000 sebulan.
6. Bersedia untuk ditemuduga
Sebelum anda menekan butang hantar proposal atau menulis proposal lagi anda sudah bersedia untuk sebarang jemputan ke sesi temuduga. Persediaan membawa maksud anda sudah bersedia menjawab soalan asas temuduga seperti “Tell me about yourself”(sila beritahu tentang diri anda). Sesiapa yang pernah menjalani sesi temuduga sudah tentu tidak kekok menjawab soalah tersebut.
Hakikatnya seperti yang telah saya nyatakan, dunia online freelancing tidak sama seperti dunia formal dalam dunia pekerjaan sebenar. Ada klien hanya lebih selesa temuduga secara penulisan iaitu di ruangan berbual platform (chat room). Tetapi ada klien juga lebih selesa bercakap menerusi panggilan suara atau video. Bergantung kepada cara yang klien lebih gemar menemuduga anda. Pun begitu anda tidak boleh terlalu selesa dengan menganggap klien hanya akan temuduga menerusi chatroom sahaja. Persediaan perlu dilakukan dengan bercakap dalam bahasa Inggeris sehingga anda lancar.
Anda perlu berlatih menjawab soalan asas temuduga dan juga berlatih bercakap mengenai cadangan atau proposal kerja anda kepada klien. Ianya kemahiran asas yang wajib ada pada freelancer. Tidak perlu menghafal skrip jawapan, ia mungkin kelihatan seperti robot apabila berhadapan dengan klien kelak. Apa yang penting adalah mengingati jawapan yang anda telah latih dan bercakap secara santai dan tenang dihadapan klien.
Apa pun anda akan dianggap bernasib baik jika klien tidak berminat mengadakan sidang video atau panggilan suara ketika temuduga. Ianya bonus bagi yang introvert! Penulisan menerusi email dan chatroom sudah cukup untuk menyatakan skop kerja yang dibincang dan hantar hasil kerja pada waktu yang dijanjikan.
7. Bersedia untuk menghantar proposal seterusnya
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia freelancing luar negara harus menerima hakikat bahawa tidak semestinya hari ni daftar platform, esok terus dapat kerja. Ianya suatu proses yang panjang dan anda harus belajar dari kesilapan demi kesilapan. Kemungkinan rezeki cepat berpihak pada anda dan anda terus dapat hanya dengan sekali mencuba. Ketahuilah bahawa peluang sentiasa ada dan tidak akan habis. Selagi dunia internet wujud, selagi ada perhubungan sesama manusia secara pantas merentas benua, selagi sistem ekonomi dunia berjalan seperti biasa, pelbagai peluang kerja tetap ada. Tentu anda harus tolak tepi perkara yang tidak terfikir oleh akal seperti zombie apokalis, perang dunia ketiga atau ancaman makhluk asing memusnahkan dunia. Kalau itu terjadi, bukan sahaja dunia freelancing, kehidupan manusia runtuh dan tiada lagi kerja online atau offline.
Lihat peluang kerja di bawah menerusi platform Guru.com yang mungkin tidak terkenal dan tidak ramai pengguna.
Hampir 2000 peluang pekerjaan. Sekarang mari kita lihat platform paling terkenal dan ramai pengguna iaitu Upwork. Bagi bidang pekerjaan paling asas sekali iaitu memasukkan data (data entry), hampir 14,000 jumlahnya.
Ini baru pekerjaan asas, sedangkan banyak lagi peluang pekerjaan dalam bidang-bidang lain. Terlampau sangat banyak. Hanya mahu atau tidak mahu bekerja sahaja. Maka nasihat saya tidak perlu mengamalkan konsep bulan jatuh ke riba. Apa yang saya maksudkan, lepas hantar satu proposal, terus menunggu dan menunggu untuk dapatkan jawapan balas dari klien. Sebaliknya terus mintak dan mintak selagi points yang disediakan oleh platform masih boleh digunakan.
Lupa ingin saya nyatakan bahawa setiap platform freelancing mempunyai points ataupun kaedah tertentu dalam menghadkan proses permohonan oleh freelancer. Ini adalah biasa. Setiap platform ingin jana wang juga dari klien dan juga freelancer. Sama ada mereka kenakan yuran bulanan tertentu atau anda harus dapatkan points tertentu sebelum memohon kerja. Dalam platform Upwork dinamakan sebagaikan connects. Anda boleh baca di sini tentang connects. Maka gunakan points tersebut untuk memohon klien seterusnya tanpa terus menunggu klien yang telah anda hantar proposal.
Cuma anda perlu berhati-hati dengan penipu atau scammer. Sehebat mana atau segah mana pun platform freelancer seperti Upwork, tetap ada scammer yang ingin menipu anda. Jangan percaya pada klien yang ingin kenakan bayaran kepada anda sebagai ‘yuran asas’ atau ‘yuran pentadbiran’ (atau apa saja istilah untuk tipu duit anda). Ianya scam belaka. Klien tersebut yang patut berikan duit upah kepada anda untuk bekerja. Bukannya meminta anda duit tertentu sebagai jaminan untuk upah bulanan dan sebagainya.
Kesimpulan
Anda harus kuasai segmen penting dalam dunia freelancing iaitu proposal. Proposal yang menarik minat bakal klien akan mengundang anda ke sesi temuduga. Pastikan anda tidak terlalu ghairah menjanjikan bulan dan bintang kepada klien sebaliknya anda perlu nyatakan kemampuan anda dan solusi kepada masalah klien. Ketika sesi temuduga bermulalah sesi runding-merunding, termasuklah berapa upah yang telah dipersetujui, berapa jam kerja yang perlu diberi komitmen, ataupun bilakah tarikh terakhir untuk menghantar kerja yang telah siap. Berjayanya anda diundang ke sesi temuduga menandakan anda sudah sebelah kaki untuk mendapatkan kerja, sebelah kaki lagi adalah sejauh mana anda mampu memberikan respon yang terbaik ketika sesi temuduga dan juga dalam perundingan berkenaan upah anda.
Akhir kata saya ingin ucapkan selamat maju jaya bagi mereka yang masih cuba menghasilkan proposal yang terbaik untuk memenangi hati klien. Seperti kata pepatah Melayu, “belakang parang diasah lagikan tajam”. Maka anda harus berlatih menulis dan menghantar proposal sebanyak mungkin. Semoga kejayaan anda diiringi doa dan tawakal.
Wahh! Agak jarang jumpa penulis yang berkongsi tentang pengalaman freelancing dalam bahasa Melayu. Terima kasih banyak untuk perkongsian ini.
Terima kasih berkunjung ke blog saya memberi komentar.